Bintang muda JDT dilabel Pele Malaysia angkara menggegar Piala Supermokh


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Sa'ap Baharom memukau orang ramai dengan persembahannya di Piala Supermokh. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SABAN tahun, negara kita pasti akan menghasilkan pemain yang mampu mencuri tumpuan ramai.

Baik sebagai penyerang atau pemain sayap, pasti akan muncul seorang pemain yang boleh dianggap sebagai wonderkid muncul.

Sebelum ini, kita ada pemain yang diberikan jolokan sebagai Messi Malaysia (Faiz Nasir dan Akhyar Rashid). Malah ketika ini, pemain muda Selangor FC, Harith Haiqal pernah disamakan dengan pertahanan kental John Terry serta Sergio Ramos.

Tetapi, masih belum ada lagi mana-mana pemain bola sepak di negara kita disamakan dengan legenda Brazil iaitu Pele.

Pele merupakan pemain yang dianggap sebagai bintang bola sepak teragung di dunia. Mungkin ada yang berasakan Lionel Messi serta Cristiano Ronaldo lebih hebat, tetapi legasi ditinggalkan Pele sukar untuk dipecahkan rekodnya.

Mana tidaknya, Pele merupakan satu-satunya pemain di dunia yang mempunyai rekod kemenangan Piala Dunia sebanyak tiga kali bersama-sama Brazil pada 1958, 1962 dan 1970.

Kini, telah muncul seorang pemain di Malaysia yang telah menerima jolokan bakal menjadi Pele Malaysia.

Individu yang dimaksudkan pemain remaja Johor Darul Takzim (JDT), Sa'ap Baharom. Sebelum ini, pemain berasal dari Gua Musang, Kelantan itu pernah mencuri tumpuan apabila dilamar Harimau Selatan untuk menyertai mereka.

saap (1)

Sa'ap (tengah) meraikan gol bersama-sama rakan sepasukannya di Piala Supermokh. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bakat orang asli tersebut dikesan oleh pencari bakat (scout) JDT dan pelaburan Harimau Selatan kepada Sa'ap nyata membuahkan hasil apabila dia menghasilkan impak segera.

Di kejohanan Piala Supermokh, Sa'ap yang mewakili skuad bawah 12 tahun (B-12) JDT mempamerkan persembahan cemerlang terutamanya ketika bertemu pasukan Filipina, Apuesto Bueno.

Lima gol Sa'ap itu merupakan sebahagian daripada jaringan besar dihasilkan JDT dalam perlawanan tersebut dengan Harimau Selatan menang 12-0.

Melihat kepada persembahan Sa'ap, ada penyokong yang berasakan pemain itu boleh menjadi prolifik seperti Pele.

"Pele Malaysia in process," kata penyokong bernama Hafyzy Azman.

Persembahan memukau Sa'ap itu membuatkan ramai tertanya, adakah ini pemain dari Kelantan yang JDT ambil?

Ia turut menimbulkan pertanyaan, adakah Kelantan sebenarnya lubuk kepada bakat-bakat hebat bola sepak negara?

"Ini orang asli di Kelantan kan?," soal Razif Fikri.

"Budak Kelantan ni bos," kata Hafiq Danial.

"Saya perasan pemain Malaysia ni banyak (yang) hebat dari Kelantan. Itu yang saya nampaklah. Tapi banyak yang tak digunakan dengan betul," ujar Tengku Ridzuan.

Mungkin terlalu awal untuk menilai kehebatan Sa'ap apatah lagi meramal dia bakal menjadi Pele Malaysia. Akan tetapi, jika dengan latihan tepat maka Malaysia bakal mempunyai penyerang berkualiti di masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram