Idam pemain setajam Bergson, ada yang mahu duo Sang Penyu turun pangkat ke TFC II


  • Podium
  • Isnin, 16 Okt 2023

Walaupun beraksi baik kebelakangan ini, masih ada penyokong TFC tidak gemarkan persembahan Ivan Mamut. — Facebook/Terengganu FC

KEBANGKITAN yang ditonjolkan oleh Terengganu FC (TFC) pastinya mendapat perhatian daripada penyokong mereka.

Setelah bermula perlahan pada awal musim, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner berjaya mendapatkan rentak dan kini dalam keadaan terbaik untuk menamatkan kempen Liga Malaysia mereka.

Hal ini kerana, Terengganu berpeluang untuk mendapatkan satu piala musim ini menerusi Piala Malaysia. Skuad Penyu kini berada di separuh akhir dan perlu menewaskan Kuala Lumpur City FC untuk ke aksi akhir.

Di sebalik prestasi yang tampak semakin baik, penyokong Terengganu masih tidak berdiam diri. Bagi mereka, masih terdapat beberapa ruang yang boleh dibaiki untuk menguatkan lagi pasukan.

Antaranya adalah dengan menyingkirkan beberapa pemain ke TFC II dek kerana prestasi yang kurang memberangsangkan.

Terdapat penyokong yang mahukan dua penyerang import, Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn diletakkan di TFC II dan mencadangkan agar kelab mendapatkan penyerang sehebat bintang Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Bergson da Silva.

"Walaupun Ivan Mamut prestasinya akhir-akhir ini agak memberangsangkan tetapi dia tidak begitu tajam di depan gol. TFC perlu mencari pemain penyerang yang sangat-sangat tajam seperti Bergson da Silva pada tahun depan.

"Samalah untuk Adisak Kraisorn. Wajar diletakkan di TFC II untuk perbaiki diri supaya lebih tajam," kata penyokong bernama Wan Norashimah.

392763366_311582381583203_5399175498328620133_n

Persembahan Adisak dianggap mengecewakan bagi penyokong Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

Selain daripada Mamut dan Adisak, Norashimah turut mahukan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim diturunkan tarafnya ke TFC II demi mencari semula keyakinan yang hilang.

"Rahadiazli perlu diletakkan di TFC II supaya dia perbaiki dirinya untuk kembali cemerlang seperti tahun lepas kerana dialah TFC layak ke perlawanan akhir Piala FA," ujarnya.

Selain mendambakan penyerang setajam Bergson, Norashimah turut mahukan pertahanan seampuh Jordi Amat bagi menggantikan Sardor Kulmatov yang dianggap tidak cukup bagus.

"TFC perlu mencari pemain import pertahanan tengah tahun depan bagi menggantikan Sardor Kulmatov.

"Harap-harap TFC mencari pemain import yang sedak (bagus) macam Jordi Amat di JDT," cadang Norashimah.

Pendapat Norashimah itu kemudiannya kurang mendapat persetujuan daripada penyokong TFC yang lain. Mereka berpendapat yang TFC perlu ukur baju di badan sendiri.

391538244_894077558754888_8845196876058105426_n

Terengganu digesa cari penyerang sehebat Bergson. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hal ini kerana, TFC bukannya mempunyai wang banyak untuk bawa setiap pemain bintang ke pasukan.

"Pitih lah wei masalahnya. Kalau rakyat Terengganu beri duit pun tak cukup lagi," komen Azhar Marzuki.

"Tunggulah duit jatuh dari langit dulu lepas tu cadanglah nak beli siapa pun, Ronaldo ke, Messi ke, Salah ke. Pi mai pi mai tang tu juga, beranganlah selamanya. Satu nak pesan, 'money is king'. Yang faham, fahamlah tapi yang tak faham tu lantaklah," ujar Eirham Firsyad.

"Tinggi selera kamu. JDT RM47 juta setahun TFC RM27 juta setahun (bajet). Patut mantapkan pemain tempatan dulu baru cari pemain import. Pakai ikut keperluan je biar tak berkuantiti tapi berkualiti," kata Isey Isam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram