JURULATIH Tajikistan Petar Segrt berharap pengadil perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 akan bersikap adil dalam pertembungan membabitkan pasukannya dan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pengendali berusia 57 tahun itu berkata, pengadil perlu lebih bertimbang rasa dan tidak mudah memberikan penalti dengan mengambil kira keadaan padang yang kurang memuaskan, seperti berlaku dalam perlawanan membabitkan pasukan India dan Malaysia, Jumaat lepas.
"India bermain dengan hebat tapi Malaysia bernasib baik dengan pengadil dan itulah situasinya. Saya harap pengadil akan berikan keputusan lebih tepat esok (Selasa) namun, inilah bola sepak,” katanya kepada pemberita pada sidang media praperlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 pada Isnin.
Pada aksi Malaysia dan India, pengadil Mongkolchai Pechhri didakwa mencetuskan kontroversi apabila tidak mengesahkan jaringan ketiga oleh pemain tengah India Lallianzuala pada minit ke-56.
Sementara itu, walaupun pasukannya tampil tanpa 15 tonggak utama dan dibarisi pemain muda, Segrt yakin para pemain sudah bersedia dan mampu melakukan kejutan berdepan Malaysia sekali gus membawa pulang piala berprestij kejohanan edisi 2023 itu.
"Kami menang ketika menentang Malaysia pada Piala Raja Thailand tahun lepas, tapi untuk perlawanan kali ini, kami ketiadaan 15 pemain. Mereka tiada di sini. Sejujurnya, Malaysia beraksi lebih baik di gelanggang sendiri. Saya juga tahu Malaysia mempunyai kelebihan penyokong tempatan.
"Kita akan cipta sensasi dan berjuang habis-habisan esok (Selasa),” katanya.
Tajikistan terus beraksi di final Pestabola Merdeka selepas mendapat 'bye’ setelah Palestin menarik diri saat akhir kerana situasi tegang di Semenanjung Gaza.
Malaysia melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan India 4-2, Jumaat lepas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram