Perlawanan Belgium-Sweden ditangguh akibat serangan pengganas, 2 orang terbunuh


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Penyokong yang hadir ke aksi Belgium-Sweden ketakutan kerana insiden serangan pengganas. — Agensi

SATU insiden buruk telah berlaku hinggakan sebuah perlawanan bola sepak tidak dapat diteruskan kerananya.

Aksi kelayakan EURO 2024 melibatkan Belgium dan Sweden yang diadakan di Brussels, Belgium terpaksa ditangguhkan selepas berlaku insiden serangan pengganas dekat kawasan sekitar bandar itu.

Seorang pemuda yang mengakui dia daripada gerakan ISIS telah mengeluarkan amaran di media sosial mengenai serangan yang bakal berlaku di bandar tersebut.

Ia kemudiannya telah menimbulkan keresahan dalam kalangan orang awam lalu sistem amaran pengganas telah dinaikkan ke tahap tertinggi.

Amaran tersebut kemudiannya bertukar menjadi tragedi apabila dua penyokong Sweden telah dilaporkan terbunuh akibat ditembak.

Perlawanan yang diadakan di King Baudouin Stadium, Brussels itu hanya dapat dilangsungkan sehingga tamat separuh masa pertama sahaja.

6467298

Situasi di lokasi serangan pengganas berlaku di Brussels. — Agensi

Ketika rehat separuh masa, para pemain Sweden menyatakan mereka tidak mahu meneruskan perlawanan kerana ketakutan dan tindakan itu turut dipersetuju oleh skuad Belgium.

Disebabkan serangan pengganas ini, UEFA memilih untuk menangguhkan perlawanan antara dua negara ini sehingga tarikh baharu diumumkan.

"Berikutan terdapat dakwaan serangan pengganas di Brussels, setelah melakukan rundingan dengan kedua-dua pasukan serta pihak keselamatan tempatan, perlawanan kelayakan EURO 2024 antara Belgium dan Sweden telah ditangguhkan," kata UEFA.

Ketika perlawanan dihentikan, kedudukan waktu itu adalah kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1. Romelu Lukaku menjaringkan gol untuk Belgium sementara Viktor Gyokeres bagi Sweden. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram