Usaha keras Nicol David berhasil, gembira skuasy akhirnya jadi acara Sukan Olimpik


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Datuk Nicol David merupakan jaguh skuasy dunia ketika eranya. — Agensi

SETELAH menunggu dengan begitu lama, akhirnya sukan yang sering mengharumkan nama kita di peringkat dunia iaitu skuasy menerima pengiktirafan yang sewajarnya.

Salah satu daripada cabang sukan raket itu akhirnya diiktiraf oleh Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan akan menjadi sebahagian daripada acara temasya sukan terbesar di dunia itu bermula dengan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Pemilihan skuasy sebagai sebahagian daripada acara Sukan Olimpik ini turut menyaksikan empat sukan lain turut dipilih dan akan dipertandingkan bermula pada tahun 2028.

Bola lisut/sofbol, kriket, flag football dan lacrosse turut menyertai skuasy menjadikan lima sukan akan dimasukkan ke dalam senarai acara Sukan Olimpik 2028.

Untuk rekod, bola lisut/sofbol, kriket dan lacrosse merupakan sukan yang kembali membuat kemunculan di Sukan Olimpik sementara flag football dan skuasy pertama kali dipertandingkan.

Pemilihan skuasy sebagai salah sebuah acara di Sukan Olimpik merupakan satu perkhabaran gembira buat Malaysia. Hal ini kerana, negara kita sering menghasilkan ramai atlet cemerlang dalam sukan ini.

Malah pada Sukan Asia Hangzhou baru-baru ini, skuad skuasy wanita kebangsaan berjaya meraih pingat emas dan ini adalah mesej jelas Malaysia masih jaguh sukan ini di peringkat dunia.

DUBAI, UNITED ARAB EMIRATES - MAY 27:  Nicol David of Malaysia compete against Raneem El Welily of Egypt during day four of the PSA Dubai World Series Finals 2016 at Burj Park on May 27, 2016 in Dubai, United Arab Emirates.  (Photo by Francois Nel/Getty Images)

Nicol dianggap sebagai GOAT dalam sukan skuasy. — Agensi

Bagi bekas ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David, usaha keras selama ini mempromosikan skuasy akhirnya berhasil apabila ia diiktiraf dan akan dipertandingkan di Sukan Olimpik lima tahun dari sekarang.

"Mengagumkan, mengagumkan! Selepas bertahun-tahun berusaha keras, (skuasy) sangat berhak (dimasukkan ke Sukan Olimpik).

"Tahniah kepada sukan skuasy kesayangan kita dan bakal juara," kata Nicol di laman Twitter (X) miliknya.

Pemilihan skuasy ke Sukan Olimpik mungkin agak lambat hinggakan Nicol kini sudah menggantungkan raketnya dan tidak lagi beraksi.

Tetapi usahanya untuk memastikan sukan itu berada di temasya tersebut sekali gus membuka satu lagi jalan untuk Malaysia mendapatkan pingat emas pertama di Sukan Olimpik tidak boleh dinafikan.

Hasil usahanya, kita mungkin akan melihat jaguh baharu dalam skuasy yang akan menjulang nama Malaysia di Sukan Olimpik kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram