ERA moden bagi Harimau Malaya mengharungi tahap naik turunnya. Ada masa kita berada di puncak, dan satu ketika pula tersungkur lemah.
Ketika 2009 hingga 2011, Malaysia melalui detik kegemilangan dalam bola sepak. Dua pingat emas Sukan SEA serta kejuaraan Piala AFF yang diraih pada 2010 membuatkan bola sepak negara kembali menyinar pasca skandal rasuah 1994.
Ketika menjulang Piala AFF pada 2010, watak Datuk K. Rajagobal menjadi nadi kebangkitan Harimau Malaya. Namun selepas itu, Malaysia mengharungi cabaran lebih getir hinggakan kredibilitinya dipersoal penyokong.
Selepas berjaya menakluk Asia Tenggara, Rajagobal diberikan tugasan lebih berat iaitu memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2015 yang diadakan di Australia. Akan tetapi, cabaran getir untuk Harimau Malaya untuk mara.
Diletakkan dalam kumpulan D bersama-sama Bahrain, Qatar dan Yaman, Malaysia tidak berhasil untuk mara selepas menamatkan saingan kelayakan di tangga ketiga walaupun berjaya mengutip dua kemenangan.
Kritikan hebat diberikan kepada Rajagobal ketika itu kerana dia dianggap gemar bereksperimen mengenai pemain yang diturunkan walaupun ketika perlawanan penting.
Sebagai contoh sewaktu perlawanan bertemu Bahrain yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor, Rajagobal dilihat melakukan eksperimen apabila tidak menurunkan dua pemain utama iaitu Mahali Jasuli dan Fadhli Shas.
Sebaliknya, Rajagobal meletakkan K. Reuben serta Amiridzwan Taj Tajuddin sebagai pengganti dalam aksi yang beraksi dengan jaringan 1-1 pada 10 tahun lalu.
Amiridzwan menjadi taruhan Rajagobal ketika menentang Bahrain pada 2013. — FAM
"Ramai yang berkata saya suka bereksperimen, saya berbuat demikian kerana saya mahu pemain yang jarang diturunkan bersedia untuk perlawanan penting jika ada kecederaan. Saya percaya tindakan saya ini adalah tepat.
"Kami ada pertahanan yang cedera iaitu Mahali Jasuli serta Fadhli Shas tetapi pengganti mereka iaitu K. Reuben serta Amiridzwan Taj Tajuddin bermain dengan baik untuk menidakkan Bahrain," kata Rajagobal.
Terma "eksperimen" sinonim dengan Rajagobal dan tanpa kita sedar, pendekatan itu turut dilakukan oleh Kim Pan-gon pada hari ini.
Pan-gon mungkin mempunyai beberapa pemain asasnya dalam pasukan, tetapi pengendali dari Korea Selatan itu tidak pernah jemu melakukan perubahan sama ada dari segi taktikal atau individu yang diturunkan ketika perlawanan.
Malah, Pan-gon juga tidak takut untuk memberikan pemain-pemain kurang ternama peluang untuk beraksi dan membuktikan kebolehan bersama skuad kebangsaan.
Hasil daripada tindakan itu memberikan impak positif kerana kemenangan berjaya diraih sambil Pan-gon berjaya mencungkil bakat baharu untuk Harimau Malaya. Ia sekali gus memberikan lebih banyak pilihan untuk Pan-gon ambil setiap kali tugasan antarabangsa tiba. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram