ISU pengurusan dan skandal di luar padang sememangnya sudah menjadi rencah dalam landskap bola sepak tanah air dengan masalah terbabit sering berulang saban tahun.
Meskipun terdapat pelbagai usaha daripada pihak berkuasa untuk mengelakkannya daripada berlaku, sikap lepas tangan segelintir pihak menyebabkan hal tersebut terus berulang.
Salah satu isu yang sudah semestinya sukar dilupakan adalah ketika Perak FA didakwa terlibat dalam skandal mengatur perlawanan kira-kira 10 tahun lalu.
Isu berkenaan timbul setelah kekalahan memalukan 1-6 skuad The Bos Gaurus (TBG) di tangan Sarawak FA dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia pada 21 September 2013.
Kekalahan yang dialami di Stadium Negeri, Sarawak itu menyaksikan Perak FA gagal meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati apabila hanya berada di kedudukan ketiga.

Perak FA mempunyai skuad yang cukup sempurna kira-kira 10 tahun lalu.
Situasi itu sekali gus mendesak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk mengambil tindakan yang menyaksikan seramai 23 pemain serta staf kejurulatihan kelab digantung.
Antara yang dikenakan tindakan tersebut ialah jurulatih ternama, Azraai Khor Abdullah dengan dia ketika itu masih aktif bersama skuad TBG.
Bagaimanapun, setelah penyiasatan dibuat Pasukan Petugas Khas PAFA, kesemua yang dihukum tidak menerima sebarang tindakan lanjut apabila tiada bukti kukuh diperoleh.
Namun, isu berkenaan tidak terhenti di situ apabila beberapa kakitangan serta pemain pasukan Utara tanah air tersebut memilih untuk meninggalkan Perak FA.

Pemain Sarawak FA yang cukup gembira setelah menumpaskan skuad TBG 6-1. — Agensi
Azraai merupakan antara yang awal bertindak demikian setelah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan untuk menamatkan kontraknya.
Selain itu, penyiasatan terbabit turut menyaksikan bekas pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun meninggalkan jawatannya berkenaan sebelum digantikan Azhar Ahmad pada tahun berikutnya.
Beberapa pemain serta tonggak skuad TBG turut mengikuti jejak langkah Azraai dan Khairul, termasuk penjaga gol, Farizal Marlias dan kapten pasukan, Shahrom Kalam yang menyertai Selangor FA.
Skuad TBG turut merasai tempias daripada skandal berkenaan apabila mereka terpaksa menunggu sehingga 2016 untuk memastikan kestabilan pasukan kembali diraih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
