MENJADI bualan hangat penyokong Harimau Malaya dalam media sosial mengenai permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur selepas perlawanan menentang India pada Jumaat.
Kondisi padang yang baru sahaja tukar daripada 'Cowgrass' kepada 'Zeon Zoysia' itu mendapat kritikan daripada orang ramai selepas ia dilihat merencatkan tempo permainan buat kedua-dua pasukan.
Selepas perlawanan, Majoriti mendapatkan pandangan beberapa penyokong yang hadir ke stadium tentang rumput baharu yang dipasang di SNBJ serta persembahan Harimau Malaya.
Seorang penyokong skuad kebangsaan, Wan Fuqhairha, 28, berkata, Harimau Malaya perlu memperbaiki benteng pertahanan sebelum menentang Tajikistan dan dia berpendapat permukaan padang sedikit mengecewakan namun mengambil pendekatan lebih positif memahami situasi itu.
"Ia perlawanan yang bagus untuk Malaysia kerana selepas ini Harimau Malaya akan menentang Tajikistan di final Pestabola Merdeka tetapi benteng perlawanan perlu lebih banyak diperbaiki.
"Perlawanan malam ini (Jumaat) dilihat benteng pertahanan sedikit longgar di bahagian Dominic Tan tapi kita faham dia perlu diberi masa lebih lagi.
"Keadaan padang agak mengecewakan, tapi kita kena faham benda itu baru ditanam dan pihak pengurusan terlampau cepat untuk membenarkan stadium ini digunakan.
"Pendapat saya rumput itu masih belum matang dan dalam tempoh dua atau tiga bulan jika ada perlawanan lagi mungkin sebaik padang JDT," katanya kepada Majoriti.
Manakala Muhd Harith, 13, berkata, aksi permainan Harimau Malaya bermula perlahan seawal minit perlawanan namun mula menyesuaikan diri selepas jaringan pertama terhasil.
"Saya rasa semua okay, cumanya 'start' perlawanan itu tempo permainan agak perlahan.
"Tetapi semuanya okay pada pertengahan permainan selepas pemain pun dah mula selesa beraksi di atas rumput baharu," jelasnya.
Bagi Mohd Khaleed, 34, pula dia merasakan Faisal Halim antara pemain yang merancakkan permainan Harimau Malaya namun keadaan padang jelas merencatkan permainan anak-anak buah Kim Pan-gon.
"Bagi saya Faisal Halim 'best player' malam ini (Jumaat), sebab dia boleh gelecek bola melepasi beberapa pemain selepas itu buka ruang untuk pemain-pemain lain menjaringkan gol.
"Permukaan padang ada beberapa kawasan yang tidak okay, mungkin masih belum matang ataupun tidak diselenggara lebih teliti lagi.
"Dengan permukaan sebegitu ia merencatkan corak permainan kedua-dua pasukan selepas ada pemain yang tersepak tanah," luahnya.
Dalam pada itu, penyokong India turut tidak puas hati dengan permukaan padang SNBJ sehingga mendapat perhatian media antarabangsa.
Gambar yang dimuat naik IFTWC-Indian Football.
Menerusi posting IFTWC-Indian Football dalam Facebook, ia memuat naik kapsyen mengenai padang SNBJ yang teruk untuk kejohanan berprestij seperti Pestabola Merdeka.
"Ia kualiti padang yang sangat teruk untuk kejohanan domestik apatah lagi perlawanan bertaraf antarabangsa," jelasnya.
Penyokong-penyokong India juga masih tidak dapat menerima kekalahan di tangan Malaysia apabila masih memberi alasan permukaan padang punca skuad nasional mereka tewas dengan keputusan 2-4 pada Jumaat lalu.
Harimau Malaya akan turun menentang Tajikistan misi balas dendam selepas kali terakhir tewas dalam penentuan sepakan penalti sekali gus Malaysia gagal untuk merangkul kejuaraan Piala Raja Thai pada tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram