JURULATIH skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berpandangan pengendali Tajikistan, Petar Segrt sepatutnya tidak ‘menangis’ (merungut) mengenai pelbagai masalah dihadapi pasukannya sebelum final Pestabola Merdeka 2023, pada Selasa.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, kritikan terhadap barisan pemain sebelum perlawanan bermula adalah tabiat yang tidak baik bagi seorang pemimpin kerana ia seolah-olah mencari alasan.
Pan-gon berpandangan demikian selepas Segrt secara terbuka mengakui skuadnya dibarisi oleh ramai pemain muda kerana kehilangan 15 pemain utama namun tidak akan berikan cabaran mudah kepada Malaysia.
"Ini adalah tabiat yang tidak baik kerana sebelum perlawanan, dia sudah memberikan alasan tetapi bagi saya sebagai pemimpin, saya tidak akan mengatakan demikian kerana saya percaya pada pemain dan kami mempunyai sikap terbaik, mesti bermain untuk mendapatkan kemenangan.
"Kami turun dengan skuad yang terbaik dan berkeyakinan untuk mempamerkan aksi terbaik serta menghadiahkan kemenangan kepada penyokong,” kata Pan-gon ketika sidang media praperlawanan final Pestabola Merdeka 2023, pada Isnin.
Pan-gon turut menyifatkan kejohanan tersebut merupakan medan terbaik buat skuad Harimau Malaya untuk menebus kekecewaan tewas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri tanpa jaringan kepada Tajikistan di final Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand, tahun lalu.
Katanya, barisan pemainnya akan memperagakan aksi lebih meyakinkan dari segi taktikal bagi membuktikan mereka adalah pasukan yang lebih baik daripada Tajikistan yang menghuni ranking ke-110 dunia beranding Malaysia di tangga ke-134.
"Sudah pasti kami ingin menang kerana berada di landasan terbaik untuk mencapai ranking dalam kelompok 120 pasukan teratas dunia. Dalam final menentang Tajikistan pada Piala Raja Thai, kami hanya kalah pada penentuan sepakan penalti dalam suasana hujan lebat,” kata Pan-gon.
Sebagai rekod, Tajikistan mendapat 'bye' ke final selepas penarikan Palestin pada saat terakhir, Isnin lalu disebabkan keadaan tegang di negara tersebut.
Skuad Harimau Malaya layak ke final selepas membenam India 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Jumaat lalu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram