'RM30 juta untuk satu pingat emas', pakar mahu atlet RTG jangan sambil lewa kejar misi Sukan Olimpik 2024


  • Podium
  • Isnin, 16 Okt 2023

Datuk Azizulhasni Awang antara atlet yang diletakkan dalam program Road To Gold. — Agensi

PEMBENTANGAN Belanjawan 2024 telah pun dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan industri sukan turut mendapat perhatian.

Dalam pembentangannya mengenai sukan, Anwar menfokuskan kepada penyediaan atlet bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik 2024 yang akan diadakan di Paris, Perancis.

Misi menjadi pingat emas pertama Malaysia dalam temasya itu diteruskan dan tidak hairanlah sekiranya belanjawan kali ini tertumpu ke arahnya.

Disebabkan misi tersebut, kerajaan Malaysia akan memperuntukkan RM20 juta khas untuk program Road To Gold (RTG) bagi memastikan pingat emas pertama Sukan Olimpik dibawa pulang.

Menurut penganalisis sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, ia adalah satu pelaburan yang tidak boleh dipandang enteng para atlet yang terlibat dalam RTG.

Hal ini kerana, nilai RM20 juta itu adalah sangat besar bagi membawa pulang sebuah pingat emas.

"Jika dalam pembentangan belanjawan yang lalu, kerajaan sudah menyediakan RM10 juta untuk program RTG, kini tambahan RM20 juta pula diberikan.

"Keseluruhannya telah menjadi RM30 juta. Secara mudahnya, kerajaan membelanjakan RM30 juta untuk membawa pulang satu pingat emas," kata Pekan kepada Majoriti.

Malaysia's Lee Zii Jia gestures after winning a game against Netherlands' Mark Caljouw during their men's singles semi-final match on day four of the All England Open Badminton Championship at the Utilita Arena in Birmingham, central England, on March 20, 2021. (Photo by Adrian DENNIS / AFP)

Lee Zii Jia menjadi sandaran mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik 2024. — Agensi

Disebabkan nilai yang amat besar, Pekan berpendapat tiada pilihan lain buat para atlet selain daripada berusaha keras bagi menjayakan misi ini.

"Buat masa ni, jumlah atlet yang menyertai RTG ini masih belum cukup ramai jika hendak dibandingkan dengan nilai yang dilaburkan.

"Atlet perlu berjuang sebaik mungkin bagi memastikan misi ini berjaya. Biarlah perbelanjaan besar itu dibalas dengan hasil yang setimpal kerana wang yang dibelanjakan itu merupakan wang rakyat," ujar Pekan lagi.

Dalam pada itu, Pekan melihat keputusan kerajaan memberikan peruntukan besar kepada Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi program Podium adalah tindakan baik untuk bagi memperkasa prestasi atlet.

"Peruntukan program Podium dapat membolehkan MSN menyediakan atlet sedia ada sambil meluaskan pool supaya akan ada lebih banyak pilihan. Malah, persediaan rapi boleh dilakukan supaya Malaysia boleh bersedia bagi Sukan Olimpik 2024 serta Sukan SEA 2025," kata Pekan.

Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia dan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara barisan atlet yang berada dalam program RTG. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram