PEMAIN pertahanan India, Sandesh Jhingan tidak mahu salahkan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai kekalahan pasukan India di tangan tuan rumah, Malaysia pada Jumaat.
Skuad kebangsaan mudah menundukkan pasukan ranking ke-102 dunia dengan keputusan 4-2 sekali gus berjaya layak ke pentas akhir Pestabola Merdeka menentang Tajikistan pada Selasa depan.
"Pertama sekali anda perlu salahkan diri sendiri kerana banyak melepaskan bola yang mudah dan gol yang senang kepada mereka (Malaysia).
"Tetapi kesimpulannya saya tak nak nampak mengeluh walaupun ada keputusan yang boleh dipertikaikan.
"Ia benda sama yang terjadi pada kami di Piala Raja Thailand ketika menentang Iraq... perkara sama yang terjadi seperti hari ini (Jumaat)," katanya kepada Majoriti.
Sandesh (kiri) merupakan tonggak utama pertahanan India. — Facebook/India
Pemain berusia 30 tahun itu juga berasakan banyak keputusan pengadil yang boleh dipertikai apabila bola sudah melepasi garisan gol skuad kebangsaan.
"Bola itu sudah melepasi garisan gol dan sepatutnya jaringan itu disahkan dan menjadi gol ketiga buat India.
"Berkenaan penalti saya rasa ia terlalu lembut untuk pengadil memberikannya walaupun ia dilihat perkara kecil tapi saya rasa itu mengubah rentak permainan pasukan.
"Tetapi tahniah Malaysia, ya esok hari baharu dan kami akan mempelajari pengajaran hari ini dan perbaikinya untuk Piala Asia dan kelayakan Piala Dunia nanti," jelasnya.
Sandesh memilih untuk tidak memberikan komen mengenai padang namun tidak menafikan kondisi permukaan venue itu menyukarkan taktikal pasukan India.
"Saya tidak mahu berkata lebih tentang padang, tetapi semua orang lihat bagaimana kondisi padang itu.
"Kerana pasukan kami (India) lebih gemar menyimpan bola dan mengawal tempo permainan dan keadaan padang sebegini menyukarkan kami.
"Tapi saya juga tak boleh salahkan padang. Saya rasa anda (Malaysia) telah mengeluarkan banyak duit untuk padang itu jadi saya mengharapkan ia keputusan yang baik tetapi ia tidak baik untuk kedua-dua pasukan bermain bola sepak.
"Saya rasa pemain Malaysia sangat baik dan mereka mempunyai jurulatih yang baik, berkenaan atmosfera saya rasa ia sama dengan di India sangat mengagumkan," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram