Stadium cantik, fasiliti baik tapi 'coach' India kecewa padang SNBJ sangat teruk


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Keadaan padang stadium SNBJ selepas digunakan. — Facebook

KETUA jurulatih India, Igor Stimac nampak tidak berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur meskipun sudah ditukar kepada Zeon Zoysia pada Jumaat.

Meskipun begitu, pengendali kelahiran Croatia itu memuji fasiliti yang ada di gelanggang keramat Harimau Malaya serta teruja melihat sokongan padu yang diberikan pemain ke-12 skuad kebangsaan.

"Apa yang saya boleh katakan ia permainan yang sangat menarik untuk kedua-dua pasukan. Apabila kesemua yang beraksi di atas padang cuba memberikan persembahan terbaik.

"Ia jelas sekali keadaan padang sangat teruk yang mana menyukarkan segala pergerakan pemain. Apa-apa pun tahniah Malaysia," katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Bercakap mengenai gol yang dibatalkan oleh pengadil, Stimac mengambil pendekatan untuk mempercayai barisan kejurulatihan dan para pemain yang menyaksikan insiden gol itu.

"Saya tiada sebab untuk tidak mempercayai pembantu jurulatih dan pemain yang berada di belakang gawang gol jelas nampak bola itu sudah masuk ke dalam gawang gol Malaysia.

"Saya boleh cakap tentang pengadil tetapi saya tidak akan mengganggu kegembiraan anda malam ini (Jumaat)," ujarnya.

Igor Stimac

Stimac tidak berpuas hati dengan permukaan padang SNBJ.

Pengendali berusia 56 tahun itu cemburu dengan masa yang diberikan oleh Kim Pan-gon untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Pestabola Merdeka.

"Saya amat mencemburui jurulatih Malaysia (Pan-gon) kerana dia mendapat tempoh yang lama untuk melatih pasukan.

"Tidak seperti kami yang baru berlatih dengan kesukaran pertukaran venue latihan dan mengambil masa selama satu jam untuk ke padang latihan.

"Mengenai atmosfera saya rasa ia sangat hebat dan sesuatu yang gembira buat kesemua pemain beraksi malam ini.

"Cumanya stadium yang cantik, fasiliti yang baik tetapi padang sangat teruk," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram