[VIDEO] Akur keputusan pengadil, kapten India puji gabungan barisan hadapan HM


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Tangkap layar bola yang dikatakan sudah melepasi garisan gol tetapi tidak dikira oleh pengadil.

HARIMAU Malaya tidak mempunyai masalah untuk melangkah ke pusingan akhir Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan India 4-2 pada aksi pembukaan kejohanan tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat.

Bermain di hadapan lebih 46,000 penonton itu, skuad kendalian Kim Pan-gon yang kini berada pada ranking 134 dunia membuktikan bahawa ranking bukanlah segalanya kerana berhasil mempamerkan aksi cemerlang menentang India di kedudukan 102 dunia itu.

Walaupun tidak dapat dinafikan isu padang baharu di SNBJ yang kini menggunakan rumput zeon zoysia itu mendapat kritikan hebat namun empat jaringan gol cantik pemain juga mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air.

Jaringan bek tengah, Dion Cools memeriahkan Bukit Jalil seawal minit ketujuh dan tiga gol lagi dicetak oleh Arif Aiman Hanapi (20’), Faisal Halim (42’) dan ditutup dengan sumbangan bek kiri berpengalaman, Corbin-Ong pada minit ke-61 permainan.

Seperti perlawanan lain, isu kontroversi pengadil turut mewarnai aksi sulung Pestabola Merdeka itu apabila sepakan penyerang The Blue Tiger, Lallianzuala Chhangte yang dikatakan sudah melepasi garisan gol tidak dikira oleh pengadil.

Bagi ketua pasukan kebangsaan India, Sunil Chhetri yang turut menjadi saksi kejadian kontroversi tersebut mengakui terpaksa menerima keputusan walaupun menurutnya sepakan tersebut sudah melepasi garisan gol Malaysia.

“Saya tak nak cakap pasal kontroversi tapi saya ada situ. Memang nampak ia adalah gol. Tapi perkara dah jadi. Walaupun beberapa kali saya merungut pasal gol tersebut, ia tetap sama.

“Bila saya tanya penjaga garisan, mereka cakap tak nampak gol itu melepasi garisan. Saya tak nak komen dah pasal isu kontroversi itu,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas perlawanan aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023.

Dalam pada itu, pemain kelab Bengaluru itu turut menambah bahawa sekiranya gol ketiga India diberikan, pastinya keputusan perlawanan akan menjadi berbeza untuk pasukannya.

WhatsApp Image 2023-10-14 at 10.57.22

Sunil juga menjadi ketua pasukan pada aksi pembukaan itu. — Facebook/FAM

Pemain berusia 39 tahun itu bagaimanapun tidak menafikan pasukannya turut melakukan kesilapan mudah terutamanya di bahagian pertahanan yang membiarkan Malaysia mudah mencetak pada gol keempat.

“Jika gol itu dikira, kami dah dapat keputusan 3-3 tapi gol keempat memang kesalahan kami. Pertahanan kami lepaskan, gol keempat itu bunuh momentum kami,” tambahnya.

Sunil turut memuji barisan pemain skuad Harimau Malaya dan dia menyifatkan bahawa tonggak barisan serangan pasukan kebangsaan sememangnya mempunyai kualiti dalam perlawanan tersebut.

Pada perlawanan berkenaan, Pan-gon memberi kepercayaan kepada penyerang Sabah FC, Darren Lok, Arif Aiman, Faisal dan penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid untuk mengemudi barisan hadapan. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram