KEMENANGAN besar 4-2 dicatatkan skuad kebangsaan ke atas India dalam aksi separuh akhir Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Gol daripada Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Corbin Ong memastikan keraian daripada puluhan ribu penyokong yang cukup gembira dengan skor berkenaan.
Bagaimanapun, pertembungan dengan pasukan di tangga ke-102 dunia itu dicemari kritikan ramai yang tidak berpuas hati dengan mutu padang di venue berkenaan.
Meskipun baru sahaja dirasmikan, padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dilihat terlalu mudah tercabut yang menunjukkan akar rumput masih belum kukuh.
Kualiti padang itu dikatakan mengganggu rentak permainan apabila pemain gagal mempamerkan aksi terbaik dengan beberapa daripada mereka terlalu mudah terjatuh sepanjang perlawanan.
Kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil mencetuskan perbualan hangat.
Namun, bagi Faisal Halim, isu berkenaan dirasakan tidak memberi kesan dengan dia berpendapat padang baharu tersebut lebih baik berbanding sebelum ini.
"Walaupun ada yang sedikit terkeluar, semuanya berjalan dengan lancar dan kita juga tahu situasi padang. Jadi, kita tidak boleh salahkan padang.
"Alhamdulillah, semua pemain cukup gembira dengan padang baharu apabila bola bergerak lebih lancar. Mungkin, tiga atau empat bulan lagi, ia akan menjadi lebih baik," katanya.
Sementara itu, Tunku Ismail berkata, padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil memerlukan masa dua hingga tiga bulan sebelum ia sedia digunakan.
Tunku Ismail menyuarakan pendapat berkenaan di laman X, susulan kualiti permukaan padang di SNBJ baru dinaik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dipersoal peminat bola sepak tanah air.
TMJ memaklumkan padang baharu itu sepatutnya diberi masa untuk akarnya tumbuh dengan kuat sebelum digunakan seperti padang di Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi JDT, di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
"Tetapi pasukan kebangsaan nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa," menurutnya ketika membalas hantaran seorang pengguna yang mempersoalkan keadaan padang tersebut
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini menyalurkan dana sebanyak RM4.7 juta untuk menaik taraf kualiti padang selepas menerima nasihat dan pandangan daripada Tunku Ismail. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram