Tak anggap peranan kapten sukar, Matt Davies semai cita-cita di final Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Matt Davies merupakan bek kanan utama buat Harimau Malaya ketika ini. — Facebook/FAM

AKSI cukup bertenaga dipamerkan anak-anak buah Kim Pan-gon dalam aksi separuh akhir Pestabola Merdeka menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Empat gol yang dihasilkan menerusi Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Corbin Ong sudah cukup untuk memastikan kemenangan berpihak buat pasukan negara.

Meskipun pihak lawan berjaya mengecilkan defisit menerusi Naorem Mahesh Singh dan Sunil Chhetri, semangat ditunjukkan pemain kebangsaan memastikan kemaraan Harimau Malaya dalam kejohanan terbabit.

Antara yang sudah tentu mencuri perhatian dalam pertembungan berkenaan ialah tonggak pasukan, Matt Davies yang beraksi dengan cukup baik sepanjang 90 minit permainan.

Berdasarkan pendekatan taktikal awal, pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia itu diberikan tanggungjawab untuk menyekat serangan lawan sebagai seorang bek kanan.

Namun, khidmatnya juga diperlukan sebagai seorang pemain pertahanan tengah dengan Davies dilihat cukup cemerlang dalam memikul peranan terbabit.

387856149_1025997741806795_1724294116147272119_n

Kecemerlangan Davies sudah tentu ditagih sehingga kempen Piala Asia akan datang. Facebook/FAM

Tetapi, kebolehan pemain Johor Darul Takzim (JDT) tersebut untuk beraksi sebagai kapten sudah tentu lebih menarik perhatian dengan peranan tersebut sebelum ini lebih kerap dipikul Dion Cools atau Safawi Rasid.

Bagaimanapun, menurut Davies, tanggungjawab itu tidaklah begitu sukar untuk dipikulnya memandangkan dia pernah diberikan kepercayaan sedemikian sebelum ini.

"Ia adalah satu penghargaan sebenarnya buat saya tetapi saya juga ada pengalaman sebelum ini ketika saya masih bersama Pahang FA untuk kira-kira lima tahun.

"Jadi, ia bukanlah satu cabaran terlalu besar buat saya. Namun, seperti apa yang sering dikatakan, peranan itu memang amat penting, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pemain dengan kualiti kepimpinan dalam skuad ini," katanya.

Penampilan ketika bertemu India merupakan yang ke-38 buatnya selepas kali pertama diturunkan ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Arab Saudi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

387852171_1027309725008930_167718446036394271_n

Pasukan negara mengesahkan slot ke final Pestabola Merdeka selepas menumpaskan India 4-2. Facebook/FAM

Kecemerlangan Davies sudah tentu akan ditagih Kim Pan-gon serta Harimau Malaya untuk aksi Piala Asia pada Januari akan datang dengan sumbangannya dari segi pertahanan dan serangan cukup penting.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sasaran dalam Pestabola Merdeka edisi ke-42, pemain berusia 28 tahun itu berkata, ia adalah satu cita-cita cukup besar untuk menjuarai kejohanan terbabit.

"Sudah tentu kami mahu mencatatkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri dan di laman sendiri. Jadi, ia sememangnya amat bermakna buat kami.

"Jadi, kami sudah tentu tidak mahu melihat pencabar lain untuk merampasnya dari kami dan kejayaan sudah tentu amat diperlukan dalam perlawanan akhir," jelasnya.

Selepas ini, Harimau Malaya bakal berdepan Tajikistan dalam perlawanan akhir pada Selasa di venue sama dengan kejayaan akan juga membantu kedudukan negara dalam ranking FIFA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram