Pelantikan Zafrul sebagai Presiden BAM dipertikai, nama KJ disebut lebih layak


  • Podium
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Khairy (kanan) memiliki pengalaman lebih meluas dalam membangunkan sukan negara berbanding Tengku Zafrul.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) pada Sabtu mengumumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz sudah dipilih sebagai presiden persatuan berkenaan.

Dalam satu ciapan di laman Twitter rasmi BAM, Tengku Zafrul dilantik untuk menggantikan Tan Sri Mohammad Norza Zakaria yang mengumumkan bakal melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini.

"Pihak BAM sudah sebulat suara untuk melantik Tengku Zafrul sebagai Presiden BAM yang baharu, menggantikan Tan Sri Mohammad Norza. Maklumat terperinci akan dibincangkan dan diumumkan pada mesyuarat majlis pada Disember 2023," kata kenyataan itu.

Keputusan berkenaan sudah tentu menerima respons kurang bersetuju daripada peminat badminton negara memandangkan Tengku Zafrul tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang persukanan.

Selain memegang portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dia sebelum ini hanya pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan dari 2021 sehingga 2022.

WhatsApp Image 2023-10-14 at 16.44.38

Ciapan daripada BAM yang mengesahkan pelantikan Tengku Zafrul.

Jadi, tidak hairanlah apabila beberapa pengguna laman media sosial X mahu persatuan berkenaan menilai semula kesesuaiannya dalam memegang jawatan penting terbabit.

Malah, bagi mereka, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin boleh dianggap sebagai calon lebih layak untuk membawa nafas baharu buat masa depan badminton negara.

"Adalah lebih baik buat BAM untuk melantik Khairy berbanding Tengku Zafrul. Apakah yang dia buat sebelum ini memberi sebarang impak kepada persatuan ini?

"Percayalah, kami hanya meluahkan perkara ini kerana kami sememangnya kisah akan sukan badminton negara. Pilihlah mereka yang mempunyai jiwa dalam badminton kerana pemain dan jurulatih sudah semakin berkembang," kata Gloria Jane 3311.

kj_4 (1)

Khairy sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan selama lima tahun. Stadium Astro

"Situasi ini ibarat keluar mulut harimau, masuk mulut buaya. Cuma, sekiranya Khairy yang dipilih sebagai Presiden BAM, mungkin masih boleh diterima logik akal," tulis Sweet Han Hun.

"Adakah memang perlu untuk dilantik seseorang yang mempunyai latar belakang politik? Lebih baik Khairy kalau macam tu sebab dia ada juga pengetahuan mengenai bidang sukan," kata Nunu Nana.

Sebelum ini, Khairy pernah memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan selama lima tahun bermula 2013 dengan beberapa pencapaian bermakna dicatatkannya.

Antara kejayaan yang dikecapi negara adalah ketika rekod cukup baik dalam Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017 apabila kontinjen negara membawa pulang 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa.

Dalam temasya sukan berkenaan, sukan badminton turut menyumbang satu pingat emas menerusi perseroangan wanita, Goh Jin Wei sementara pasukan berkumpulan lelaki dan wanita meraih pingat perak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram