'Debut' mimpi ngeri zeon zoysia di SNBJ rencat kemenangan Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Padang SNBJ menerima kritikan hebat penyokong ketika perlawanan bertemu India. — Facebook/FAM

BUAT pertama kali, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berwajah baharu dari segi rumput padang.

Hal ini kerana, padang baharu di SNBJ menggunakan rumput zeon zoysia yang diberikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha memajukan gelanggang keramat Harimau Malaya.

Pastinya ramai teruja melihat padang baharu ini. Hal ini kerana, rumput zeon zoysia dikatakan yang terbaik dan paling sesuai untuk iklim cuaca di Malaysia.

Padang baharu tersebut digunakan buat pertama kalinya pada aksi Pestabola Merdeka apabila Malaysia bertemu India.

Namun begitu, penampilan pertama rumput zeon zoysia di SNBJ tidaklah seperti yang diharapkan. Kelihatan beberapa kali rumput tercabut daripada padang dan pemain perlu membaikinya.

387851633_1027235081683061_7471384951863532929_n

Arif Aiman menjaringkan gol untuk Malaysia. — Facebook/FAM

Di mata penyokong, kualiti rumput di SNBJ nyata mengecewakan dan tidaklah menjadi seperti yang diharapkan.

"Kontraktor yang buat rumput padang Bukit Jalil ni ada masa lagi nak lari (ke) luar negara ni. Kalau tak lari, tak kena gaya jadi santapan buaya jawabnya," kata akaun Wagadugu FC.

"Padang SNBJ ni ada warranty tak?" tanya laman Penyokong Setia Hijau Kuning.

Malah ada juga yang membandingkan dengan rumput Stadium Darul Makmur, Kuantan yang dilihat lebih baik berbanding di SNBJ.

Padang SNBJ dilihat tidak berada pada tahap terbaik berkemungkinan kerana terlalu awal digunakan sebaik saja ia siap dipasang.

"Rumput Stadium Darul Makmur pun okay juga kan? (Rumput) SNBJ awal sangat dipuji tanpa diuji dengan beban larian maksimum," kata akaun Hogoh Pahang Hogoh.

TMJ kemudiannya memberikan respons mengenai perkara tersebut di laman Twitter (X). Menurut TMJ, padang tersebut perlu diberikan lebih masa untuk menjadi matang.

"Padang tu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim. Tetapi national team nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM dan pihak stadium.

"Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang-kurangnya lagi dua ke tiga bulan. Kontraktor ni kontraktor yang sama buat padang JDT," kata TMJ.

Pastinya, pihak Perbadanan Stadium Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberikan respons mengenai perkara yang berlaku.

Kualiti rumput jelas sekali tidak berada pada tahap terbaik. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil untuk baikinya bagi mengelak ada pemain yang tercedera kerananya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram