SEBELUM ini, tersebar di media sosial mengatakan beberapa individu penting di sebalik kebangkitan Sabah FC bakal meninggalkan kelab tersebut pada masa terdekat.
Mereka merupakan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Marzuki Nasir serta Pengarah Teknikal mereka, Scott Ollerenshaw.
Kehilangan ketiga-tiga watak penting itu dilihat akan memberi tamparan hebat terhadap masa depan skuad Sang Badak yang sedang dalam tempoh cukup baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Bagaimanapun, menurut Marzuki, masih tiada kata putus mengenai kedudukannya bersama pasukan dari Borneo terbabit dengan terdapat kemungkinan bakal tercetusnya perubahan terhadap pihak pengurusan.
Namun, pada masa sama, bekas Ketua Pemuda Umno Semporna itu enggan mengeluarkan kenyataan mengenai masa depan Kim Swee mahupun Ollerenshaw.

Tae-su sudah meluangkan masa lima musim bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Tetapi, baru-baru ini, penyokong Sabah FC sekali lagi menerima tamparan hebat apabila kapten pasukan, Park Tae-su pula seakan-akan memberi gambaran bahawa dia akan meningglkan pasukan terbabit.
Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, pemain kelahiran Korea Selatan itu sedang dalam usaha mempelajari Bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, Tae-su sempat bergurau dalam mesej ringkasnya tersebut, sekali gus menarik perhatian daripada penyokong skuad Sang Badak mengenai perkara itu.
"Saya sedang mencari seorang guru Bahasa Inggeris, boleh mesej saya. Jangan cakap pinjam RM100 dan Gwaenchana. Kalau cakap, saya akan block dan tampar muka kau," tulisnya.
Pemain berusia 33 tahun itu sememangnya cukup dikenali dengan personalitinya yang menghiburkan selain kebolehannya untuk bercakap dalam Bahasa Melayu.

Hantaran yang dibuat Tae-su di Instastory peribadinya. — Twitter/No Context Bola Malaysia
Kefasihannya berkenaan berpunca daripada tahun-tahun perkhidmatannya bersama skuad Sang Badak dengan dia sudah meluangkan lima musim di pasukan tersebut.
Meskipun usianya sudah semakin lanjut, ia tidak menjejaskan peluangnya dalam pasukan apabila kapten Sabah FC itu sudah mencatatkan 21 penampilan Liga Super setakat ini.
Selain memiliki nilai kepimpinan cukup baik, Tae-su juga beraksi cukup baik dengan dia kini merupakan penjaring terbanyak kelab dengan tujuh jaringan berjaya disumbangkan.
Jika pemain berkenaan memilih untuk berkelana, terdapat kemungkinan dia akan mengikut jejak langkah Kim Swee yang dikatakan sedang dirisik kelab Indonesia, Persija Jakarta.
Namun, dengan Tae-su dilihat masih setia dengan Sabah FC, terdapat kemungkinan usahanya untuk mempelajari Bahasa Inggeris adalah untuk memudahkan proses komunikasinya bersama rakan sepasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
