KEMENANGAN ke atas India dengan skor 4-2 memastikan skuad kebangsaan berjaya melangkah ke peringkat akhir Pestabola Merdeka edisi ke-42.
Kejayaan yang dilakar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat tersebut sememangnya cukup bermakna melihat kepada jurang antara kedua-dua pasukan dalam ranking FIFA.
Tidak cukup dengan itu, kemenangan besar berkenaan membuktikan bahawa Harimau Malaya sudah bersedia untuk menempuhi saingan Piala Asia pada Januari akan datang.
Bagaimanapun, pemain kebangsaan masih belum boleh menarik nafas lega memandangkan mereka masih perlu menempuhi satu lagi perlawanan untuk menjuarai Pestabola Merdeka 2023.
Seperti mana diketahui, pasukan negara bakal bertemu Tajikistan dalam perlawanan akhir yang bakal diadakan di venue sama pada Selasa ini.

Harimau Malaya terpaksa menelen kekecewaan ketika bertemu Tajikistan tahun lalu. — Facebook/FAM
Kali terakhir kedua-dua negara bertembung adalah ketika aksi Piala Raja-raja Thai tahun lalu yang menyaksikan Harimau Malaya tewas dalam penentuan sepakan penalti.
Jadi, ia sudah tentu akan menjadi satu suntikan motivasi buat skuad kebangsaan yang melihat lawan mereka itu sebagai pasukan yang tidak boleh dipandang remeh.
Perasaan itu turut dikongsikan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang masih mengingati kekalahan kepada skuad kendalian Petar Segrt itu.
"Kami masih ingat kerana kami beraksi dalam keadaan yang kurang baik dengan hujan lebat sebelum kami tewas dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Aksi cukup baik dipamerkan pemain negara ketika membenam India pada Jumaat. — Facebook/FAM
"Jadi, ya. Ia merupakan satu peluang terbaik untuk membalas dendam dalam perlawanan akan datang di hadapan penyokong sendiri," katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang India.
Selepas aksi Pestabola Merdeka, Pan-gon akan berdepan cabaran dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 yang bakal diadakan pada November.
Ia merupakan peluang terbaik buat skuad kebangsaan untuk meraih lebih banyak mata FIFA, sekali gus merealisasikan impian menduduki kelompok 120 pasukan teratas dunia sebelum Piala Asia Qatar.
Berdasarkan kedudukan semasa, Harimau Malaya berada di tangga ke-134 sementara Tajikistan menduduki tangga ke-110 dunia.
Ketika ini, pasukan negara berada dalam prestasi terbaik apabila hanya mencatatkan satu kekalahan dan dua keputusan seri dalam 10 aksi antarabangsa tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
