Hasil jualan keahlian Perak FC bantu Bobie tampung bayaran duit stadium


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Hasil pembelian keahlian kelab oleh penyokong telah berjaya membantu kewangan Perak FC. — Facebook/Perak FC

TUGAS menjadi pemilik kelab bukan mudah, ia tidak tertakluk kepada tugas memastikan kantung pasukan tidak bocor dan gaji dibayar tepat pada waktu, tetapi lebih daripada itu.

Menjadi pemilik kelab ini memerlukan hati yang kental. Hal ini kerana, pemilik perlu berdepan dengan pelbagai reaksi daripada penyokong. Kadang kala dipuji, tetapi lazimnya dimaki.

Pemikiran penyokong lazimnya berasakan pemilik sesebuah kelab bola sepak haruslah kaya dan penuh dengan duit. Tetapi, duit banyak sahaja tidak cukup, ia perlu disulami dengan kepintaran menguruskannya.

Begitulah pemikiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsudin. Menurut Bobie, tidak semua pemilik kelab perlu kaya untuk menguruskan kelab bola sepak.

Sebaliknya, usaha menjaga sebuah kelab bola sepak memerlukan usaha sama daripada pemilik dan penyokong. Bobie mengambil contoh hasil usaha penyokong Perak membeli kad keahlian, ia dapat membantu kelab membayar perbelanjaan stadium.

"Alhamdulillah keahlian The Bos Gaurus walaupun bergerak amat perlahan tapi hasil kepada pasukan sudah mencecah lima angka.

"Benar jumlah lima angka sebulan itu bukanlah banyak namun Alhamdulillah ada juga untuk tampung duit (perbelanjaan) stadium sebulan sekali," kata Bobie.

Bobie juga berpendapat yang penyokong bola sepak di Malaysia tidak menyedari kesukaran yang dialami penyokong kelab untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

"Industri bola sepak kini ada masalah dan rata-rata penyokong akan mula menyalahkan pasukan. Itu perkara biasa. Yang luar biasa, penyokong tak tahu betapa susahnya nak cover kos operasi pasukan.

"Yang mereka tahu, pemilik kaya takkan tak boleh bayar? Sebab (penyokong) mengharapkan pemilik kaya seperti Johor Darul Takzim," ulas Bobie. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram