Lepasi sasaran 27 pingat Sukan Asia, atlet negara berjaya tutup mulut pengkritik


  • Podium
  • Rabu, 11 Okt 2023

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama kontinjen negara selepas tiba dari Hangzhou di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). — Bernama

KEJAYAAN kontinjen negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 meraih keseluruhan 32 pingat, mampu menutup tanggapan beberapa pengkritik sukan yang sebelum ini menyifatkan sasaran tanpa pingat emas, dianggap seolah-olah atlet pergi bercuti ke China atau bersifat selamat.

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan bersama memaklumkan, kejayaan itu hasil perancangan rapi pemegang taruh utama iaitu Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), MSN, MOM dan Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut kenyataan itu, kredit sebenar bagaimanapun harus dihalakan kepada atlet negara yang berkorban masa, tenaga dan usia muda mereka, untuk mempersiapkan diri ke temasya empat tahun sekali itu sambil dibimbing oleh jurulatih dan anggota keluarga, serta sistem sokongan sedia ada.

"Kenyataan yang berlebihan boleh ditafsirkan sebagai menidakkan pengorbanan atlet dan barisan jurulatih negara, yang setiap hari tanpa mengira waktu atau berkelana jauh di perantauan meninggalkan keluarga mereka.

"Semestinya kejayaan ini dikongsi oleh semua pihak yang berkepentingan, tanpa perlu mendabik dada menguar-uarkan kejayaan satu-satu pihak,” menurut kenyataan itu.

Kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 berjaya melepasi sasaran 27 pingat, apabila meraih enam emas, lapan perak dan 18 gangsa, dengan keseluruhannya 32 pingat.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan program penyediaan atlet ke temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, sudah dimulakan sejak 2020 melalui projek Asiacomm.

"Pelbagai bengkel melibatkan persatuan sukan kebangsaan, barisan jurulatih kebangsaan, wakil MSN, MOM dan ISN telah diadakan, bagi merancang pelaksanaan program tersebut termasuk pemantauan yang rapi dilaksanakan bersama pihak berkepentingan.

"Sebanyak 119 pendedahan pertandingan dan 41 pendedahan latihan, telah diberikan tahun ini sahaja kepada atlet-atlet yang mewakili negara ke Sukan Asia Hangzhou,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, MSN dan MOM turut berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengetengahkan kejayaan atlet-atlet di temasya Sukan Asia 2022 dan berharap kerjasama dapat dilakukan dalam menyediakan peluang pendidikan kepada atlet-atlet negara.

"Wakil KPT juga dijemput untuk berkongsi visi dan misi mereka setiap kali Lembaga Eksekutif MOM bersidang, dalam merancang dasar-dasar membabitkan Pembangunan dan penyertaan Temasya Pelbagai Sukan Antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan terkilan dengan kenyataan sesetengah pihak, yang mengambil kesempatan meraih pujian terhadap sumbangan pingat daripada atlet Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada Kontinjen Malaysia, di temasya Sukan Asia Hangzhou yang berakhir 8 Oktober lepas.

Pada temasya di Hangzhou itu, atlet IPT yang mewakili Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022 menyumbang 17 pingat atau lebih separuh daripada 32 pingat yang diraih negara termasuk tiga pingat emas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram