KEHILANGAN bekas pemain kebangsaan, Amar Rohidan terjawab apabila dia kini bergelar jurulatih pasukan Guar Syed Alwi FC (GSA FC) yang muncul menjuarai Liga Super Perlis 2023 selepas mengatasi cabaran Lion Junior FC 1-0 dalam aksi final pada 31 September lalu.
Sebelum ini tular di media sosial, memperlihatkan keceriaan bekas pemain kebangsaan itu sebagai jurulatih meraikan kejayaan anak buahnya dalam liga yang turut mendapat pengiktirafan daripada Amateur Football League (AFL).
Ketika aktif sebagai pemain, Amar pernah mewakili Perlis, Kedah Darul Aman (KDA FC), Felda United dan Kelantan FC sebelum secara tiba-tiba menghilangkan diri daripada arena bola sepak negara.
Amar yang berusia 36 tahun kini bergelar usahawan apabila membuka dua cabang perniagaan iaitu kedai gunting rambut dan perkhidmatan cuci kereta di Perlis itu berkongsi perjalanan menjadi jurulatih GSA FC.
"Permulaan jadi jurulatih tidak pernah terfikir untuk jadi 'coach' mana-mana pasukan sebab tak tahu kemampuan untuk galas cabaran sebagai jurulatih.
"Liga Super Perlis (M5) tahun lepas dikemudi oleh jurulatih yang sebelum ini berjaya layak ke final tetapi mendapat naib juara.
"Pihak pengurusan GSA FC datang berjumpa dan mempelawa saya musim ini buat kali pertama dan saya menolak disebabkan tidak penah menjadi jurulatih.
"Ia satu tugas yang berat disebabkan pasukan ini tahun lepas berada di pentas akhir," katanya kepada Majoriti.
Amar pernah beraksi untuk KDA FC.
Selepas menolak pelawaan pengurusan GSA FC, Amar berkata, mereka (GSA FC) kembali berjumpanya meminta bantuan untuk menjadi jurulatih yang mana juga menjadi titik pertama dia menjadi individu penting buat pasukan itu.
"Selepas saya menolak, dua minggu kemudian pihak pengurusan datang semula meminta bantuan saya untuk menjadi jurulatih.
"Kali kedua saya tidak tolak dan ingin melihat kemampuan saya mampu menjadi jurulatih ataupun tidak.
"Saya beritahu pihak pengurusan saya akan buat yang terbaik untuk GSA FC dan tidak meletakan sasaran tinggi musim ini.
"Saya berterima kasih kepada pengurusan dan pemain GSA FC kerana mempercayai saya untuk menggalas tanggungjawab ini.
"Alhamdulillah rezeki GSA FC menjadi juara pada musim ini," luahnya.
Amar berjaya bawa GSA FC menjadi juara Liga Super Perlis.
Ditanya mengenai perancangan masa depan sebagai jurulatih, bekas pemain kebangsaan itu masih belum membuat keputusan lagi.
"Untuk menjadi jurulatih selepas ini saya belum membuat keputusan lagi, kerana saya mempunyai perniagaan sendiri di Perlis yang perlu dijaga.
"Kekangan masa sedikit sebanyak sukar untuk saya memilih kerjaya menjadi jurulatih kerana ia memerlukan saya memberi komitmen penuh terhadap tugas.
"Sebagai jurulatih saya guna pengalaman saya yang pernah beraksi dalam Liga Super dan pasukan kebangsaan.
"Pengalaman yang jurulatih saya bagi semasa saya mewakili pasukan Liga Super dan skuad kebangsaan saya terapkan dalam GSA FC," ujarnya.
Amar masih belum memikirkan kerjaya sebagai jurulatih.
Berkongsi pengalaman ketika aktif bermain, Amar masih belum bersedia untuk memberitahu punca meninggalkan bola sepak sebelum memilih bersara daripada terus beraksi.
"Pasukan terbaik yang pernah saya wakili adalah semua kelab bagi saya.
"Saya berterima kasih kepada semua pasukan yang pernah saya sertai kerana mempercayai bakat saya.
"Terima kasih kepada pemain-pemain yang pernah bersama banyak membantu saya untuk menjadi seorang pemain bola sepak.
"Berkenaan punca berhenti dari bola sepak, saya belum bersedia untuk berkongsi, sampai masa Insya-ALLAH saya akan berkongsi," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram