[VIDEO] Tahap oksigen, jantung Izzat Zaidi kembali normal


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Izzat mengalami kemalangan pada sesi ‘Super-Pole’ perlumbaan Cub Prix Malaysia di Iskandar Puteri, Sabtu lalu.

TAHAP oksigen CKJ Racing Team, Izzat Zaidi Md. Salehan kini kembali ke paras normal selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor pada 7 Oktober lalu.

Menerusi perkongsian isterinya, Elysha Norizal dalam Instagram, Izzat kini dalam proses pemantauan rapi oleh pihak hospital selepas menjalani pembedahan ekoran terlibat dalam kemalangan pada sesi ‘Super-Pole’ perlumbaan Cub Prix Malaysia di Iskandar Puteri, Sabtu lalu.

"Sehingga hari ini (12 Oktober), terdapat peningkatan secara beransur-ansur berdasarkan bacaan kadar oksigen dan denyutan jantung.

"Difahamkan proses pemulihan ini akan mengambil masa yang panjang bergantung kepada respons anggota badan beliau (Izzat) semasa proses ini," katanya.

Elysha turut mengucapkan penghargaan kepada tindakan pantas unit perubatan Cub Prix dan pihak HSA dalam menangani insiden tersebut.

"Kami amat terhutang budi dengan tindakan pantas unit perubatan Cup Prix serta pihak hospital.

"Pihak promoter Cub Prix dan wakil dari pasukan lain juga sentiasa berhubung secara langsung dengan pasukan dan menghantar wakil untuk bersama kami di hospital bagi sebarang urusan berkaitan," luahnya.

Sebelum ini, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) membuka siasatan menyeluruh berkenaan insiden kemalangan yang menimpa pelumba muda negara itu.

Izzat yang mewakili pasukan CKJ Racing Team terlibat dalam kemalangan sewaktu sesi Superpole di Litar Bandar Medini, Johor.

Pasukan CKJ mengesahkan bahawa Izzat terlibat dalam insiden tersebut selepas jentera Yamaha yang dipacunya melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan yang terletak di tepi litar.

Akibat insiden tersebut, Izzat terpaksa dikejarkan ke hospital dan disahkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan pendarahan pada bahagian paru-paru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram