PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag benar-benar berharap kemenangan pasukannya ke atas Brentford bakal menjadi pemangkin kebangkitan pasukan tersebut musim ini.
United berjaya bangkit daripada ketinggalan di laman sendiri sebelum berhasil melakar kemenangan 2-1 dalam aksi menentang The Bees pada perlawanan English Premier League (EPL).
Dua gol pada minit akhir jaringan Scott McTominay telah berjaya memadam kelebihan yang dilakar Mathias Jensen di separuh masa pertama buat Brentford bagi memberikan tiga mata penuh kepada United.
Bercakap selepas perlawanan, Ten Hag benar-benar berharap kemenangan ini dapat memacu pergerakan United pada musim ini selepas melalui permulaan sukar.
"Ia sepatutnya menjadi titik tolak (kebangkitan) dan juga permulaan semula. Semangat pasukan dalam keadaan baik, seluruh skuad bersatu hati dan kita telah tunjukkannya. Perlawanan-perlawanan sebegini memberi semangat kepada bilik persalinan (United).
"Para pemain tahu sejauh mana mereka perlu pergi untuk dapatkan keputusan. Ia tidak akan mudah. Bola sepak ini adalah sukan dimana anda akan makan atau dimakan oleh lawan anda. Sudah banyak kali pada musim ini, kami sering dimakan oleh pihak lawan pada separuh masa pertama kerana mereka lebih lapar. Ini tidak boleh dibiarkan," kata Ten Hag.
United berjaya mengelak malu daripada dikalahkan Brentford. — Facebook/Manchester United
Menurut Ten Hag, dia masih mengekalkan tahap piawaian bola sepak yang tinggi terhadap skuad United. Bekas pengurus Ajax Amsterdam ini memang mendambakan kerja keras daripada pemain-pemainnya saat berada di padang.
"Setiap pemain perlu memberikan yang terbaik pada setiap saat dia berada di padang. Itulah desakan dan standard (yang ditetapkan). Bila kita buat macam itu, kita akan dapat sebuah pasukan yang berazam sama seperti musim lepas.
"Kami tidaklah begitu berazam terutamanya dalam beberapa perlawanan dan kerana itulah kami dihukum. Ini perlu diubah. Kami mengawal permainan, tapi tak cipta banyak peluang," ujar Ten Hag.
Bagi McTominay pula, dia mendedahkan yang menonton dokumentari mengenai bekas pemain United, David Beckham telah memberikan inspirasi kepadanya untuk tampil cemerlang.
"Saya menonton dokumentari mengenai David Beckham sehari sebelum perlawanan dan dari situ saya belajar mengenai sejarah dan siapakah orang di sebalik kelab ini.
"Ia sangat penting buat kami bersatu hati dan ia amat bermakna buat pasukan ini. Kami lakukannya untuk mereka yang menyokong kelab ini untuk bertahun lamanya. Samalah juga untuk saya, saya juga peminat kelab ini dan semestinya nak tengok pasukan beraksi dengan baik," jelas McTominay.
United akan bertemu Sheffield United pada 22 Oktober pada aksi liga seterusnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram