BEKAS penyerang Manchester United (United), Zlatan Ibrahimovic mula mempersoalkan masa depan pengurus Red Devils, Erik ten Hag yang dianggap tidak membawa perubahan besar kepada pasukan gergasi England itu.
Ten Hag meninggalkan Ajax untuk menyertai United pada musim lalu dan membawa kelab itu menjuarai Piala Carabao dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tahun ini.
Bagaimanapun, Ten Hag pada musim 2023/24 mengharungi permulaan yang sukar apabila hanya mengutip sembilan mata daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.
Kini, Ibrahimovic mula mempersoalkan masa depan jurulatih kelahiran Belanda itu dalam satu program temubual Piers Morgan Uncensored di TalkTV pada Rabu lalu.
Mount antara rekrut terbaharu Ten Hag musim ini.
Legenda Sweden itu, mempersoalkan kredibiliti Ten Hag untuk menguruskan pasukan yang dipenuhi pemain bintang seperti United.
"Datang dari Ajax ke United seperti apa yang beliau lakukan sebelum ini adalah sangat berbeza.
"Saya pernah berada dalam kedua-dua kelab, anda mempunyai sikap displin yang sangat berlainan.
"Ajax adalah pasukan yang melahirkan bintang, mereka antara terbaik dalam dunia. Kelab mereka tiada seorang pun pemain bintang," katanya.
Ibrahimovic turut mempersoalkan pengalaman ada pada Ten Hag yang sebelum ini tidak pernah menguruskan pemain berstatus bintang.
"Apa pengalaman yang ada pada jurulatih ini? Cungkil bakat baharu?
"Dia datang ke United mentaliti sangat berbeza. Kesemua pemain adalah bintang.
"Saya tak rasa anda boleh beri layanan yang sama seperti dulu.
"Berapa lama masa yang anda (pengurusan) akan beri kepada jurulatih? Itu semua terletak pada pemilik apa yang mereka mahukan.
"Jika anda dengar penyokong, anda tidak akan ada masa yang cukup. Sebab apa yang mereka mahukan hanya kemenangan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram