[VIDEO] Tonggak Man City, jurulatih Arsenal berperang mulut selepas aksi di Emirates


  • Podium
  • Isnin, 09 Okt 2023

Situasi tegang itu sempat dirakam penyokong sebelum dimuat naik di media sosial.

AKSI Liga Perdana Inggeris pada Ahad menyaksikan Arsenal menewaskan juara bertahan, Manchester City dengan kemenangan tipis 1-0 di laman sendiri.

Selepas terikat tanpa jaringan setelah 80 minit permainan, pemain sayap The Gunners, Gabriel Martinelli muncul wira apabila percubaannya terbias ke dalam gawang lawan.

Kejayaan berkenaan sudah tentu cukup diraikan penyokong kelab dari London itu memandangkan mereka sebelum ini sering bergelut setiap kali bertemu skuad The Citizens.

Tidak cukup dengan itu, kemenangan terbabit juga sekali gus meletakkan Arsenal berada di tangga kedua EPL dengan hanya perbezaan mata membezakan mereka berbanding pendahulu, Tottenham Hotspur.

Namun, di sebalik keraian berkenaan, muncul satu kontroversi apabila bek kanan Manchester City, Kyle Walker terlibat dalam satu pertembungan hangat setelah perlawanan tamat.

Dalam beberapa video tular di media sosial, pemain antarabangsa England itu dilihat berperang mulut dengan staf kejurulatihan lawan, Nicolas Jover.

Isu terbabit dikatakan berpunca daripada keenggan Walker untuk bersalaman, sekali gus menyebakan jurulatih itu mempersoalkan tahap profesionalisme pemain terbabit.

Berang dengan hal itu, Walker kemudiannya mendepani Jover sehingga mencetuskan adegan hangat sehingga pihak keselamatan stadium terpaksa masuk campur.

Penyerang Manchester City, Erling Haaland turut dilihat cuba menenangkan keadaan sebelum dia turut ditarik salah seorang kakitangan pasukan.

Kekalahan terbabit turut menyaksikan pasukan kendalian Pep Guardiola itu mengalami dua kekalahan berturut-turut setelah juga tewas kepada Wolverhampton Wanderers minggu lalu.

Mereka bakal berdepan Brighton & Hove Albion selepas aksi persahabatan antarabangsa tamat sementara Arsenal akan berkunjung ke Stadium Stamford Bridge untuk menerima cabaran daripada Chelsea. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram