PERSEMBAHAN cemerlang yang ditonjolkan oleh skuad muda negara iaitu AMD DREAM telah membolehkan pasukan tersebut layak ke perlawanan akhir kejohanan Piala Supermokh 2023.
Dalam aksi yang diadakan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, skuad AMD DREAM menghasilkan persembahan cemerlang dengan menewaskan wakil China, Evergrande Football School.
Kemenangan 2-0 yang dilakar oleh AMD DREAM terhasil dalam perlawanan yang dimainkan dengan penuh berhati-hati oleh kedua-dua pasukan.
Walaupun mengambil pendekatan berhati-hati, tetapi AMD DREAM berhasil untuk mendapatkan jaringan menentusi Haziq Zamin pada minit ke-36 sebelum Harraz Ajwad melebarkan kedudukan enam minit kemudian.
Kemenangan diperoleh oleh AMD DREAM merupakan kejayaan berpasukan yang cukup baik. Skuad kendalian Azmi Arifin mempamer corak permainan yang hebat hingga menyukarkan Evergrande Football School untuk memberikan saingan.
Taktikal Azmi Arifin berjaya membantu AMD DREAM menewaskan Evergrande Football School.
Separuh masa pertama menyaksikan penguasaan di bahagian tengah dan lawan telah memberikan masalah kepada pihak lawan yang lebih memilih untuk menyerang balas sahaja.
Tekanan lebih hebat diberikan pada separuh masa kedua apabila AMD DREAM benar-benar ingin mematikan perjuangan Evergrande Football School dan misi itu berjaya dilakukan.
Azmi benar-benar gembira dengan persembahan para pemainnya kerana semangat juang tinggi yang dipamerkan berjaya menghasilkan kemenangan.
"Syukur ALHAMDULILLAH, pemain kita beraksi dengan baik dan yang paling ketara adalah mentality kemenangan yang ketara, bukan senang hendak menewaskan pasukan yang berpengkalan dari China ini dan pemain saya telah membuktikannya.
"Ini adalah kejayaan bersama dan lebih banyak lagi kerja perlu dilakukan khususnya pada pentas final esok," kata Azmi.
AMD DREAM kini selangkah saja lagi untuk merangkul kejuaraan Piala Supermokh bagi kategori cup iaitu untuk pasukan bawah 13 tahun (B-13).
Mereka akan bertemu wakil Poland, KKS Lech Poznan yang mengatasi pasukan China, Zhejiang Professional FC 5-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram