Misi ke Sukan Olimpik Paris antara 3 senarai semak perlu dilakukan Juan Torres Garrido


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Misi mencabar menanti Juan Torres Garrido di Piala Asia B-23 2024 kelak. — Facebook/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasminya telah melantik Juan Torres Garrido sebagai pengendali baharu untuk skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia menggantikan E. Elavarasan yang berundur.

Dia dinaikkan pangkat kerana sebelum ini Garrido adalah pembantu kepada Elavarasan. Kini telah dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Muda, tempat yang ditinggalkannya diisi oleh Shukor Adan.

Pelantikan ini dilihat menerima respons positif daripada penyokong yang mahukan pengendali lebih berkaliber untuk mengemudi skuad muda negara. Persoalannya, mampukah Garrido melakukannya?

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga perkara yang perlu dilakukan dalam senarai semak Garrido untuk memastikan Harimau Muda berjaya.

1. Piala Asia B-23 2024

Walaupun menerima kecaman hebat penyokong kerana prestasi hambar, Elavarasan berjaya membawa Harimau Muda ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan diadakan di Qatar pada 2024.

Ini merupakan tugas getir pertama Garrido bersama-sama Harimau Muda. Kejohanan ini akan menjadi kayu pengukur pertama terhadap kemampuannya membimbing skuad muda negara.

Piala Asia B-23 2024 ini bukanlah sekadar kejohanan peringkat benua, tetapi ia turut menawarkan tiga slot ke Sukan Olimpik Paris.

Dengan ini adalah satu-satunya jalan ke Paris, Garrido perlu menyasarkan kedudukan tiga terbaik dalam kejohanan ini agar kempen Harimau Muda di Qatar dikira berjaya.

2. Bayangan skuad senior

Dalam bola sepak, skuad B-23 merupakan cerminan kepada kekuatan pasukan senior sesebuah negara di masa hadapan. Jika skuad remajanya ampuh, maka cerahlah masa depan bola sepak negara itu.

Itu adalah misi jangka panjang yang perlu dicapai oleh Garrido bersama-sama Harimau Muda. Dia perlu mencipta sebuah skuad muda ampuh yang boleh dianggap sebagai pelapis berkualiti bagi pasukan senior kebangsaan.

387195419_1024873368585899_2198909465077018504_n

Mukhairi Ajmal antara contoh pemain dari skuad B-23 yang berjaya tembus ke pasukan senior. — Facebook/FAM

Semestinya, acuan skuad Garrido harus mengikut DNA Kim Pan-gon di pasukan senior. Jika acuannya tidak sama, maka tiada guna jika Harimau Muda hasil air tangan Garrido berkualiti sekali pun.

Hal ini kerana, apabila tiba masanya mereka menyertai Pan-gon di skuad senior, pengendali itu perlu 'tune' semula pemain mengikut acuannya pula.

3. Jaguh di Asia Tenggara

Selama ini, skuad Harimau Muda mengalami prestasi yo-yo apabila terlibat dalam kejohanan peringkat Asia Tenggara. Ada masanya, kitalah jaguh tetapi satu ketika prestasi akan jatuh.

Oleh itu, Garrido perlu menyediakan satu skuad yang berkualiti dan boleh memecahkan dominasi pasukan seperti Vietnam dan Thailand.

391696866_1026431335096769_568859789547403624_n

Acuan Pan-gon dan Garrido haruslah selari demi kemajuan Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Tiada lagi istilah pendedahan, skuad B-23 ciptaan Garrido harus ditanam dengan pemikiran hendak menjadi johan dan tidak lagi pergi ke pertandingan hanya sekadar ingin mengutip pengalaman.

Apabila skuad yang dibina begitu ampuh di peringkat Asia Tenggara, barulah kita boleh menaruh harapan Harimau Muda boleh bersaing hebat bersama-sama jagoan Asia yang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram