Sah! Gandingan Juan Torres Garrido-Shukor Adan kemudi skuad B-23 Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Juan Torres Garrido menjadi pengemudi Harimau Muda yang baharu. — FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah sah melantik Juan Torres Garrido sebagai pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia yang baharu bagi menggantikan E. Elavarasan.

Garrido yang sebelum ini merupakan pembantu Elavarasan telah dinaikkan pangkat selepas pengendali tersebut meletakkan jawatan untuk kembali fokus sebagai penolong kepada Kim Pan-gon di skuad senior.

Garrido akan dibantu oleh Shukor Adan yang dipinjamkan sementara dari Kuala Lumpur (KL) City FC.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundram sambil ditemani Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donnell di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Garrido mewarisi jawatan yang ditinggalkan oleh Elavarasan dengan ujian pertama pengendali tersebut bersama-sama Harimau Muda adalah kejohanan Piala Asia B-23 yang akan diadakan di Qatar pada 2024.

FAM mengenakan gandingan jurulatih asing dan tempatan dalam usaha mencari ramuan paling hebat untuk menguatkan Harimau Muda apabila berdepan gergasi Asia yang lain.

Oleh itu, mereka menaruh harapan agar gandingan Garrido serta Shukor akan mampu membawa anjakan paradigma kepada skuad muda negara ini.

Dalam sidang media, Sivasundram ada mendedahkan yang FAM meletakkan empat calon untuk membantu Garrido.

Selain Shukor, FAM turut menimbangkan pembantu Tan Cheng Hoe di Selangor FC iaitu Nidzam Jamil, pengendali skuad Piala MFL Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta Rusdi Suparman.

Namun begitu, selepas penilaian dibuat, FAM berasakan Shukor adalah individu tepat untuk membantu Garrido di Harimau Muda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram