ISU gaji dilihat terus mencengkam beberapa kelab Liga Super dengan situasi tersebut semakin memburuk memasuki penghujung musim.
Selepas dihadapi Kelantan FC sejak awal lagi, penyokong bola sepak sekali lagi dijamukan dengan berita-berita buruk tersebut meskipun masih tiada pengesahan daripada pihak pengurusan.
Bagaimanapun, sumber-sumber dalaman kepada media tempatan mendapati perkara tersebut sedang berlaku di sebalik tabir, termasuk beberapa pemain yang menceritakan bahawa mereka tidak menerima bayaran sehingga tiga bulan.
Antara pasukan yang difahamkan berdepan hal itu ialah Negeri Sembilan FC dengan laporan tidak rasmi mengatakan pihak pengurusan masih belum menjelaskan tunggakan gaji sehingga tiga bulan.
Ia dikatakan cukup buruk sehingga beberapa perkongsian di media sosial menyebut pemain skuad Jang enggan terlibat dalam sesi latihan baru-baru ini.
Skuad Jang berada dalam prestasi tidak menentu dalam saingan peringkat domestik musim ini.
Masalah tersebut turut diceritakan dengan prestasi tidak menentu pasukan yang mengalami beberapa siri kekalahan kebelakangan ini, termasuk penyingkiran dari Piala Malaysia kepada Johor Darul Takzim (JDT) dengan agregat 1-7.
Isu terbabit dilihat sudah tersebar sehingga pengetahuan penyokong Negeri Sembilan FC yang sering mendesak perubahan terhadap badang pengurusan kelab dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Peminat menerusi Facebook UltraJang merupakan antara yang lantang menyuarakan mengenai hal tersebut apabila mereka sering mendambakan perubahan segera demi kebaikan kelab.
"Jika gagal bayar gaji, maknanya pihak pengurusan menyusun masa depan mengikut wang yang ada di poket orang lain.
"Pihak pengurusan ambil mudah dan menganiaya pemain. Mereka mesti bertanggungjawab dan jika gagal, hendaklah mengundur diri. Maka pemain wajar boikot latihan. Penyokong sudah muak dengan alasan," tulisnya.
Penyokong Negeri Sembilan meluahkan perasaan mereka ketika aksi timbal balik Piala Malaysia berdepan JDT.
Sebelum ini, pasukan Liga Super itu pernah membuka peluang untuk mana-mana pihak atau individu yang berminat untuk membangunkan kerjasama bersama Negeri Sembilan FC, namun masih tiada pengumuman akan perkembangan hal itu.
Kelab berkenaan difahamkan masih berada di bawah pengurusan kerajaan negeri, sekali gus menjadikan mereka antara pasukan tempatan yang masih berbuat sedemikian.
Pada Rabu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun turut menyatakan akan bertemu dengan pihak pengurusan kelab bagi mengetahui punca sebenar isu itu.
Beliau berkata, pihaknya belum mendapat maklumat lanjut atau kedudukan sebenar mengenai isu berkaitan tunggakan gaji pemain yang sedang melanda pasukan bola sepak Negeri Sembilan.
Katanya, pihaknya sedia mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan isu terbabit.
"Sebab itu, saya berhasrat untuk berjumpa dengan mereka (pengurusan NSFC) dan hendak melihat apa sebenarnya permasalahan tersebut.
"Soal gaji pemain bola sepak adalah di bawah tanggungjawab kelab Negeri Sembilan FC (NSFC) dan mereka kena sediakan keperluan pemain terutama membabitkan gaji mereka," katanya.
Dalam pada itu, penyokong kelab itu menggesa agar perubahan segera diambil demi kelangsungan skuad Jang dalam Liga Super.
"Dari dulu saya tengok bola di negeri ini tidak berubah, masih culas untuk membayar gaji pemain. Macam mana mereka nak bermain dengan cantik dan bersungguh-sungguh kalau tidak menerima bayaran?" komen Fadli Nordin.
"Geram jadi macam ni, dah 100 tahun kelab ni. Pelik, tiba-tiba muncul sahaja isu pada tahun ini. Presiden atau pengurus kelab, tidak kira usahawan mahupun sesiapapun, boleh letak jawatan kerana masih tiada perubahan," kata Tajul Fitri.
"Belanja ikut dana serta kemampuan masing-masing. Pihak pengurusan perlu bertanggungjawab dan jika sedar diri tidak boleh uruskan, sila undur diri secepat mungkin," kata Ahmad Danial.
Ketika ini, skuad Jang berada di tangga kesembilan Liga Super dengan hanya 21 mata dikumpul selepas 22 perlawanan, sekali gus menutup peluang mereka untuk berada di kedudukan lebih baik memasuki penghujung musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram