MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim berpuas hati dengan kualiti padang dan rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL).
Dalam Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional KL Sports City pada Khamis, Hannah bagaimanapun mengatakan keadaan semasa padang masih perlu dinilai pemain Harimau Malaya.
"Tunku kelihatan berpuas hati dengan status dan sudah memberi cadangan mengenai penyelenggaraan padang tersebut dan kita berharap esok kita dapatkan respons daripada Kim Pan-gon dan Harimau Malaya.
Keadaan semasa padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Ini kerana mereka yang akan gunakan dan jika tanya saya, saya berpuas hati sahaja tetapi pemain bola sepak mempunyai komen masing-masing," katanya dalam sidang media.
Stadium berkenaan bakal digunakan pasukan kebangsaan dalam aksi Pestabola Merdeka berdepan India pada Jumaat sebelum aksi final berlangsung di venue sama pada 17 Oktober berdepan Tajikistan.
Majlis pelancaran tersebut turut disertai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac serta beberapa wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram