KETIKA ini, pemain tengah import dari Namibia, Petrus Shitembi dilihat terus menjadi watak utama di sebalik kebangkitan Kuching City FC yang direncanakan jurulatih berpengalaman, Aidil Sharin Sahak.
Peranannya dalam merencanakan serangan boleh dianggap sebagai kunci buat pasukan Borneo terbabit apabila mereka menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC daripada saingan MFL Challenge Cup baru-baru ini.
Meskipun masih belum menyumbat gol sulungnya buat skuad The Cats, dua bantuan jaringan yang dicatatkan sudah cukup untuk menggambarkan kualiti dibawanya setiap kali diturunkan.
Kehadirannya sudah tentu mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air yang cukup tertarik akan kebolehannya dalam menggelecek bola serta membuat hantaran berkualiti.
Perasaan tersebut sudah tentu dirasakan peminat setia kelab terdahulunya, Terengganu FC dengan pemain 31 tahun tersebut pernah menjadi tonggak utama buat skuad Sang Penyu musim lalu.
Shitembi (kiri) merupakan antara tonggak utama skuad Sang Penyu musim lalu yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.
Bersama kelab Pantai Timur itu, Shitembi berjaya melakar 10 bantuan gol dalam hanya 14 penampilan Liga Super, sekali gus menyaksikannya berjaya menerima jolokan 'King of Assist'.
Namun, situasi aneh berlaku ketika jendela perpindahan pertama Liga Super 2023 apabila kontrak pemain terbabit tidak disambung pihak pengurusan Terengganu FC berikutan perubahan radikal terhadap pihak kejurulatihan kelab.
Lebih mengejutkan lagi, khidmat jeneral tengah tersebut tidak disambar mana-mana kelab tempatan dengan hal tersebut terus bermain di akal peminat bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, bagi Shitembi, dia juga tidak dapat memberikan jawapan tepat terhadap persoalan itu apabila dia hanya berstatus ejen bebas untuk kira-kira tujuh bulan selepas itu.
"Saya harap saya boleh berikan jawapan yang tepat kerana sejujurnya, semua orang juga mempersoalkan perkara sama kepada saya.
Kehadiran Aidil sedikit sebanyak membawa sinar baharu buat skuad The Cats yang bergelut sepanjang musim.
"Tetapi, ini mungkin satu takdir buat saya kerana saya akhirnya berada di sini. Saya juga tidak terikat dengan mana-mana pasukan untuk kira-kira tujuh bulan dan saya kini perlu mendapatkan tahap kecergasan semula," katanya kepada Majoriti.
Sejak kembali beraksi, Shitembi sudah merekodkan dua penampilan Liga Super, namun masih belum mencatatkan sebarang catatan di hadapan pintu gol.
Bagaimanapun, kehadirannya sudah cukup buat Aidil dalam usaha mereka mendapatkan semula rentak dalam Liga Super dengan Kuching City kini berada di tangga ke-13.
Jelas Shitembi lagi, keputusan untuk menyertai pasukan berkenaan didorong dengan kehadiran jurulatih kelahiran Singapura terbabit yang dibawa masuk pertengahan musim lalu.
"Ya, sudah tentu. Dia sudah berada dalam Liga Super untuk beberapa musim dengan pasukan besar, iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC.
"Pengalaman dan kebolehannya cukup penting buat pasukan ini yang saya boleh katakan punca pasukan ini dapat beraksi dengan lebih baik ketika ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram