Hamidin harap lebih ramai pengadil Malaysia 'beraksi' di Piala Dunia 2026


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Nazmi, Zairul dan Arif akan mewakili Malaysia sebagai pegawai perlawanan di Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyimpan impian untuk melihat bidang pengadilan di negara ini akan menjadi lebih baik dan berdaya saing.

Tahap kualiti pengadilan di negara ini tidaklah berada di tahap terbaik, tetapi melihat beberapa nama yang berjaya diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), ia memberikan harapan kepada kita.

Hal ini berlaku selepas tiga pegawai perlawanan iaitu Nazmi Nasarudin, Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abd Rasid terpilih mewakili Malaysia di Piala Asia 2023 di Qatar.

Nazmi merupakan pengadil perlawanan sementara Zairul dan Arif bertindak sebagai pembantu pengadil.

Hamidin berharap dengan terpilihnya tiga pegawai perlawanan ini akan membuka jalan kepada lebih ramai wakil daripada Malaysia di kejohanan antarabangsa.

"AFC telah memiilih Nazmi dan dua pembantunya untuk mengalas tugas pada Piala Asia di Qatar pada Januari 2024 yang mana ia satu pengiktirafan dan diharap akan terus menjadi pemangkin kemajuan pengadil bolasepak Malaysia.

"Menjadi harapan kami untuk melihat lebih ramai pengadil Malaysia memegang tugas utama dalam perlawanan antarabangsa terutama di Kejohanan Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico," kata Hamidin.

Hamidin yang meluangkan masa bertemu ketiga-tiga pegawai perlawanan tersebut turut mengingatkan agar persiapan dilakukan dengan rapi sebelum terbang ke Qatar.

Antaranya adalah mereka perlu memastikan kualiti kecergasan berada pada tahap optimum. Selain itu, sikap profesionalisme perlulah diterapkan pada setiap masa demi memastikan kualiti mereka sebagai pegawai perlawanan bertaraf dunia terjaga.

Dalam masa yang sama, Hamidin turut menzahirkan tekad untuk membantu lebih ramai pengadil dan pembantu pengadil untuk mendapat pengiktirafan daripada AFC dan FIFA.

"FAM akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada pengadil agar mereka akan terus mencapai tahap tertinggi di peringkat AFC dan FIFA," ujar Hamidin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram