TIDAK boleh dinafikan bahawa kehadiran pemain import merupakan antara elemen penting untuk memarakkan lagi suasana dalam bola sepak tanah air.
Meskipun terdapat sebilangan daripada mereka yang kurang menyerlah, ada juga yang boleh dikatakan memiliki karier cukup baik dalam tahun-tahun perkhidmatan masing-masing dalam Liga Super.
Namun, kegagalan tersebut tidak memberi tamparan buat mereka memandangkan ada daripada import tidak menyerlah terbabit berjaya bangkit sejurus meninggalkan arena bola sepak tempatan.
Salah seorang yang boleh diletakkan dalam kategori itu ialah bekas penyerang Terengganu FC, David da Silva yang kini beraksi di Indonesia bersama Persib Bandung.
Dia yang menyertai pasukan berkenaan pada 2021 terus diangkat sebagai wira pasukan berkenaan dengan kebolehannya untuk meledak gol setiap kali diturunkan.
David da Silva menghidupkan semula kariernya di Indonesia bersama Persib Bandung. — Agensi
Musim lalu, penyerang kelahiran Brazil tersebut menjaringkan gol sebanyak 24 kali dalam saingan Liga 1 Indonesia, sekali gus meletakkannya di tangga kedua penjaring terbanyak.
Prestasi cemerlang tersebut diteruskan ketika ini apabila pemain berkenaan sudah menjaringkan 10 gol dalam 13 penampilan liga yang membantu skuad Pangeran Biru berada di tangga ketiga.
Catatan berkenaan sudah cukup untuk meletakkannya berada di tangga kedua penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia yang mana sudah tentu hanya akan menyebabkan ramai penyokong Terengganu FC merindui kelibatnya.
Namun, apa yang menarik adalah apabila da Silva berada di belakang seorang lagi bekas penyerang dalam Liga Super, Gustavo Almeida yang pernah beraksi bersama Negeri Sembilan FC musim lalu.
Gustavo beraksi dengan cukup baik buat skuad Jang musim lalu. — Bernama
Ia sudah tentu mengejutkan penyokong bola sepak di Indonesia memandangkan ia merupakan kali pertama pemain berusia 27 tahun berkenaan beraksi di Indonesia.
Dalam 12 penampilannya, penyerang kelahiran Brazil tersebut sudah menjaringkan 11 gol untuk membantunya mengungguli carta penjaring terbanyak.
Meskipun mencatatkan sumbangan cukup memberangsangkan, ia tidak cukup untuk membantu pasukan diwakilinya, Arema FC untuk berada di kedudukan lebih baik dengan mereka kini berada di tangga ke-16.
Sekiranya prestasi cemerlang berkenaan dapat diteruskan sehingga penghujung musim, Gustavo dan da Silva sudah tentu akan mendahului senarai berkenaan, sekali gus membuktikan kualiti import yang pernah beraksi di Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram