Akui perlu bersaing dengan pemain berpengalaman, Nooa Laine yakin dengan kualiti sendiri


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Nooa Laine sasar benam India di gelanggang keramat Harimau Malaya. — The Star

PEMAIN tengah kebangsaan, Nooa Laine tidak gusar sekiranya perlu bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan bagi aksi pembukaan Kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Meskipun pernah beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu pada Jun lalu, Pestabola Merdeka merupakan kejohanan pertama bagi pemain berusia 20 tahun itu.

Pemain kacukan Finland-Malaysia itu bagaimanapun tahu dia perlu bersaing dengan pemain berpengalaman seperti Paulo Josue, Stuart Wilkin, Brendan Gan dan Endrick Dos Santos untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Malah, Mukhairi Ajmal yang boleh bermain sebagai pemain tengah dan pemain sayap dijangka akan menghalangnya daripada menjadi kesebelasan utama.

Nooa bagaimanapun yakin dan percaya pada kemampuan dan kualitinya sendiri.

“Terdapat ramai pemain yang baik di bahagian tengah. Setiap orang mempunyai kualiti tersendiri dan saya rasa saya juga mempunyai kualiti dan saya akan berjuang untuk posisi saya.

“Permainan saya adalah mengenai konsistensi dan mengekalkan bola, perkara yang saya cuba lakukan dalam perlawanan. Saya perlu yakin dengan kebolehan saya," katanya.

Tambahnya lagi, dia sudah selesa dengan skuad kebangsaan selain menikmati cuaca yang lebih panas berbanding keadaan di Finland yang mana ketika ini beraksi untuk kelab divisyen 1, SJK Seinajoki.

“Ia adalah baik kerana saya menikmati latihan dan ia semakin selesa dari hari ke hari.

“Saya tidak sabar untuk perlawanan pertama saya di Stadium Nasional Bukit Jalil," kongsinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram