PASUKAN gergasi Asia Tenggara, Vietnam terpaksa menelan kekalahan pahit di tangan China 0-2 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Dalian Sports Center, Liaoning, China pada Selasa.
Skuad negara Tembok Besar itu menang ke atas Vietnam menerusi sumbangan jaringan daripada pemain tengah, Wang Qiuming pada minit ke-56 dan penyerang berbisa China, Wu lei pada babak kecederaan.
Vietnam juga terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain apabila penyerang, Nguyen Tien Linh menerima kad merah pada minit ke-89, yang mana dia dilihat mengasari pemain pertahanan China, Jiang Guangtai.
Rentetan kekasaran yang dibuat Tien Linh, pengadil perlawanan terpaksa menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk membuat semakan dan akhirnya memutuskan bahawa penyerang Becamex Binh Duong itu menggunakan sikunya untuk mengasari Guangtai.
Pengadil perlawanan memutuskan untuk membatalkan kad kuning kepada pemain berusia 25 tahun itu sebelum menggantikannya dengan kad merah. Ini adalah perlawanan pertama Tien Linh untuk pasukan Vietnam di bawah jurulatih Philippe Troussier.
Ketika pasukan Vietnam bersedih dengan kekalahan dan insiden kad merah itu, penyokong dari rantau Asia Tenggara pula bergembira melihat keputusan pengadil tersebut kerana menyifatkan pasukan Golden Star Warriors layak menerima layanan sebegitu rupa.
"Sekarang anda tahu sebab Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) terpaksa menggunakan VAR. Video ini adalah contoh," kata laman Facebook, Troll SEA Games Official.
"Puas dia main di Asean dulu. Tiada siapa pun nak tegur, dia saja yang betul. Pemain lawan yang terlungkup pula yang disalahkan pengadil. Dia bawa perangai itu main dengan China pula kali ini. Tapi kali ni ada VAR," tambah penyokong skuad JDTFC.
"Satu Asean puas hati," luah penyokong bola sepak negara, Haziq Zin.
Luahan daripada penyokong Asia Tenggara dan termasuklah Harimau Malaya itu adalah disebabkan sebelum ini rakan sepasukan Tien Linh iaitu Van Hau pernah mencetuskan kontroversi dengan pemain skuad kebangsaan.
Ketika aksi menentang Malaysia pada 27 Disember lalu, Van Hau dilihat menyiku tonggak pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi di kawasan kotak penalti namun pengadil kontroversi ketika perlawanan itu, Ryuji Sato tidak melayangkan sebarang kad mahupun tidak memberi sepakan penalti kepada Malaysia.
Dalam perlawanan sama, ketika Azam mahu mengeluarkan bola dari kawasan penalti, pemain Terengganu itu sekali lagi dikasari oleh Van Hau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram