Demi misi RTG, Kerajaan Madani salur RM20 juta menjelang Olimpik Paris 2024


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ketika mengumumkan pembentukan pasukan projek Road To Gold dalam usaha negara bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik. — Bernama

KERAJAAN menyediakan dana berjumlah RM72 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menambah baik dan memperkukuh ekosistem atlet acara podium.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuklah RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Tambahnya lagi, bagi memperkasa ekosistem atlet para, sebanyak RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

"Kita meraikan kejayaan wira-wira tanah air yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou dengan menggenggam 32 pingat.

"Selain itu, saya pasti semua telah menyaksikan kisah inspirasi Aqil Naufal, pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1, Pahang yang mempamerkan semangat kesukanan walau dalam kekurangan.

"Impian Aqil untuk bermain boleh sepak tercapai setelah mendapat bantuan kerajaan dan dorongan daripada Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-10-13 at 16.13.26

Anwar ketika sesi membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Selain itu, katanya, sejumlah RM50 juta juga akan disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

"Kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta," katanya.

Di samping itu, kerajaan juga bersetuju untuk memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus bagi melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berbakat dalam sukan.

"Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan," ujarnya.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar bakal menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram