KEDAH Darul Aman (KDA) FC memulakan langkah dalam saingan Challenge Cup dengan langkah kiri selepas tumbang kepada Kuching City pada perlawanan pertama suku akhir.
Tewas tipis 0-1 kepada pasukan tercorot Liga Super, persoalan pasti diberikan oleh penyokong Sang Kenari yang menurunkan barisan terkuat tapi masih gagal meraih kemenangan.
Bagi pengendali KDA, Nafuzi Zain, dia mengakui Kuching City bermain lebih baik berbanding pasukannya. Malah, pengendali itu turut memuji persembahan lawannya yang jelas lebih bagus berbanding apa ditonjolkan oleh para pemainnya.
"Kuching City bermain agak baik, dari segi semangat dan motivasi ditonjolkan mereka. Kesungguhan yang ditonjolkan oleh mereka dalam cuba memenangi semua bola, work rate, mereka memberikan kesukaran kepada kami.
"Saya tahu kalau Kuching City melakukan beberapa pertukaran pemain ia akan membuatkan pasukan lebih baik terutamanya dengan adanya Petrus Shitembi, pemain yang pernah saya latih pada musim lepas. Jadi nampak peningkatan pada Kuching City," kata Nafuzi.
Nafuzi berharap pasukannya bangkit pada aksi kedua di Alor Setar. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Dalam masa yang sama, Nafuzi turut mengakui pasukannya agak 'berkarat' kerana ketiadaan aksi kompetitif selama tiga minggu. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi para pemain.
Pengendali berusia 44 tahun itu mengakui lebih rela jika keputusan seri 0-0 diraih tetapi walaupun ketinggalan satu gol, masih ada peluang untuk menewaskan Kuching City apabila aksi kedua diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
"Permainan kami agak perlahan pada separuh masa pertama, tetapi lebih baik pada separuh masa kedua. Kalau keputusan itu 0-0, ia mungkin keputusan yang baik untuk kami tapi kami tewas.
"Tapi masih ada 90 minit lagi di Stadium Darul Aman dan kami harap dapat ambil kesempatan bermain di laman sendiri. Kami sudah tiga minggu tiada aksi kompetitif jadi rentak kami agak perlahan," tambah Nafuzi.
Aksi kedua antara kedua-dua pasukan akan diadakan pada 4 Oktober namun sebelum itu Sang Kenari perlu berdepan Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super untuk menghidupkan misi memperoleh gelaran naib juara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram