BERADA pada kedudukan empat tercorot Liga Super 2023, Kuching City kini dilihat sebagai pasukan yang dalam bahaya kerana berisiko beraksi di Liga M3.
Baru-baru ini, Liga Bola Sepak (MFL) mengesahkan kedudukan dua tercorot Liga Super boleh tersingkir ke saingan Liga M3.
Tentunya, kekalahan yang sering menimpa pasukan The Cats adalah berpunca kerana tidak mempunyai penyudah yang tajam di depan pintu gol selepas hanya mencatatkan 14 gol dalam 18 perlawanan.
Dalam situasi seperti itu, pastinya amat sukar bagi skuad The Cats untuk memperbaiki kedudukan semasa memandangkan dilihat sudah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pasukan lain.
Bukan itu sahaja, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, pasukan The Cats dilihat mengalami situasi sukar untuk kembali bangkit berikutan baki perlawanan musim ini hampir menutup tirai.
Bekas import TFC, Petrus Shitembi. — Instagram/petrus_shitembi
Bagaimanapun, bagai disorongkan bantal, terdapat desas-desus bahawa Kuching City bakal menerima kehadiran bekas pemain import Terengganu FC (TFC), Petrus Shitembi yang kini berstatus sebagai ejen bebas untuk memperkukuhkan lagi jentera serangan pasukan tersebut.
Kehadiran bekas pemain TFC itu pastinya akan membantu Kuching City mengutip mata untuk kekal berada dalam Liga Super musim 2024 dengan harapan akan mengubah kedudukan pasukan itu daripada dalam bahaya.
Untuk rekod, Petrus pernah bermain bersama skuad Sang Penyu selama semusim sebelum dia dilepaskan pada tahun lalu.
Ketika bersama Terengganu FC, bekas pemain skuad Sang Penyu ini menunjukkan prestasi yang sangat memberansangkan di atas padang.
Dalam 14 penampilan Liga Super yang direkodkan, Petrus menjadi tulang belakang buat Terengganu FC selepas mencatatkan 10 bantuan jaringan di samping meraih satu gol peribadi.
Statistik tersebut membolehkan pasukan Pantai Timur itu muncul sebagai naib juara liga serta muncul dalam pentas akhir Piala FA 2022.
Bagaimanapun, terdapat juga beberapa penyokong yang tidak berpuas hati dengan khabar angin tersebut berikutan prestasi yang baik ditampilkan oleh bekas import TFC sepatutnya dikekalkan.
Penyokong Sang Penyu berpendapat bahawa pihak pengurusan TFC mengalami kerugian kerana tidak membawa masuk kembali pemain kelahiran Namibia itu.
"Kalau jadi Shitembi ke Kuching City, memang Terengganu rugi besar, tak tahu nak cakap apa pihak pengurusan TFC ini," kata Mohd Redzuan.
"Rugilah Terengganu tak ambil dia, padu pun padu," kata Zehra Kaisara.
"Bagus dia ni main, padu lagi atas padang," kata Mohd Darish.
Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak.
Dalam pada itu, Kuching City secara rasmi sudah mengumumkan bahawa Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu yang menggantikan Irfan Bakti.
Sebelum ini, Irfan Bakti mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada pasukan yang berpangkalan di Borneo itu atas persetujuan bersama pihak pengurusan Kuching City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram