Fans Sang Penyu menangis, 'The Dancing Shoes' sah diumum tonggak baharu kelab Borneo


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Musim lepas, Petrus mencatatkan 10 bantuan jaringan dan meraih satu gol peribadi dalam 14 penampilan Liga Super bersama TFC. — Facebook/TFC

KUCHING City FC tampil dengan melakukan beberapa rombakan pada jendela perpindahan kedua ini dengan membawa pemain baharu, di samping mengumumkan kedatangan ketua jurulatih baharu.

Pada awal Ogos ini, jurulatih kelahiran Singapura iaitu Aidil Sharin Sahak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan sebelum ini.

Dengan kemasukan bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu, tidak hairan jika terdapat beberapa wajah baharu turut di bawa masuk pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M) ini.

Sebelum ini, skuad The Cats mendapat tiga awang import iaitu Bruno Dybal, Pedro Henrique dan Dechi Marcel N’Guessan dan terbaharu kelab berpangkalan di Borneo tanah air itu mengumumkan dua lagi tonggak baharu.

Dua pemain yang dimaksudkan ialah import dari Tajikistan, Nuriddin Davronov dan bekas tonggak Terengganu FC (TFC), Petrus Shitembi, kedua-dua mereka dijangka memperkuatkan lagi bahagian tengah pasukan Kuching City.

Pengumuman dua pemain baharu itu diumumkan pada media sosial rasmi The Cats pada Isnin.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 18.13.03

Tangkap layar pengumuman Petrus dan Nuriddin sebagai pemain baharu The Cats.

“Sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1.8.2023, Kuching City FC telah berjaya menandatangani dua pemain import baharu bagi baki saingan Liga Super tahun ini.

"Semoga dengan kehadiran dua pemain di bahagian tengah ini dapat memberikan impak positif kepada Kuching City FC,” kata hantaran tersebut.

Kehadiran dua pemain itu disambut baik oleh penyokong The Cats yang ingin melihat perubahan kedudukan carta Liga Super musim ini kerana kini Kuching berada pada kedudukan empat tercorot Liga Super 2023.

Sementara itu, kehadiran Petrus ke Kuching pula diam-diam membuatkan sebahagian penyokong sedih berikutan mereka masih berharap import dari Namibia itu akan berhijrah kembali ke bumi Darul Iman.

Ketika bersama Terengganu FC, pemain berusia 31 tahun itu menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan di atas padang dan musim lepas, Petrus mencatatkan 10 bantuan jaringan di samping meraih satu gol peribadi dalam 14 penampilan Liga Super.

Oleh itu, tidak hairan jika kehadiran pemain yang mendapat jolokan 'The Dancing Shoes’ dalam kalangan pemain ke-12 Sang Penyu itu ke Kuching, membuatkan penyokong Terengganu cemburu.

Petrus antara import cemerlang kelab berpangkalan di Pantai Timur tanah air dan sumbangannya juga membolehkan pasukan tersebut muncul sebagai naib juara liga serta muncul dalam pentas akhir Piala FA 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram