'Tuah' ditendang Eden Hazard, 'ball boy' Swansea City kini bergelar jutawan


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Charlie Morgan kini menjadi usahawan hebat selepas meninggalkan sukan bola sepak. — Agensi

PEMAIN Belgium, Eden Hazard telah mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional baru-baru ini pada usia 32 tahun.

Bekas pemain Chelsea dan Real Madrid ini mengambil keputusan untuk meninggalkan sukan bola sepak selepas bergelut dengan kecederaan yang menimpannya sejak beberapa musim.

"Anda mesti dengar kata diri sendiri dan berhenti pada waktu yang tepat. Selepas 16 tahun dan bermain dalam lebih 700 perlawanan, saya mengambil keputusan untuk bersara daripada bola sepak profesional," kata Hazard dalam kenyataanya.

Hazard sentiasa diingati ketika khidmatnya di Chelsea. Dia dikenang sebagai salah sebuah ikon untuk kelabnya serta Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sendiri.

Walaupun mempunyai pelbagai kecemerlangan ketika bersama The Blues, Hazard turut diingati kerana satu insiden pada 2013 semasa pertemuan menentang Swansea City dalam aksi Piala Liga Inggeris.

Dalam aksi separuh akhir kedua yang diadakan di Liberty Stadium, Swansea, Chelsea yang terdesak mencari gol untuk mengejar defisit agregat 0-2 cuba untuk menghidupkan sisa perjuangan pada fasa akhir permainan.

Namun satu insiden berlaku apabila bola keluar daripada kawasan permainan lalu ia ditangakap oleh ball boy Swansea yang juga merupakan pemain akademi kelab tersebut pada waktu itu iaitu Charlie Morgan.

Hazard yang cuba mendapatkan bola daripada Morgan tidak berjaya berbuat demikian kerana dia memeluk erat bola itu dan tidak mahu memberikan kepada pemain sayap tersebut dengan harapan dapat melengahkan masa.

Berang dengan tindakan itu, Hazard kemudiannya menendang Morgan. Pengadil selepas itu memberikan kad merah kepada bintang Belgium tersebut.

Taktik licik Morgan itu berjaya memastikan Swansea layak ke perlawanan akhir dan seterusnya memenangi English League Cup pada musim tersebut.

Selepas 10 tahun daripada insiden itu, kedua-dua individu ini telah membawa haluan masing-masing. Hazard sudah pun bersara daripada bola sepak sementara Morgan menjauhi sukan tersebut.

Sebaliknya, Morgan memilih untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjadi usahawan minuman jenama The AU bersama-sama rakannya iaitu Jackson Quinn.

Usaha kerasa Morgan itu membuahkan hasil apabila perniagaannya kini bernilai £150 juta (RM872 juta) malah namanya terpilih dalam senarai 30 Under 30 oleh majalah Forbes pada 2023.

Lebih menarik, jenama minuman Morgan itu turut mendapat sokongan oleh bekas bintang Brazil, Ronaldinho, serta peninju terkenal iaitu Floyd Mayweather. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram