Dikecam kelab sendiri, ultras Celtic tetap teguh pendirian sokong Palestin


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Kain rentang Green Brigade dengan mesej pro-Palestin ditayangkan ketika aksi Scottish Premiership menentang Kilmarnock. — Agensi

SEJAK konflik antara Palestin dan Israel kembali meletus, dunia bola sepak tidak terkecuali daripada mengambil bahagian untuk menyokong sesetengah pihak.

Kelab-kelab di Major League Soccer (MLS) seperti DC United dan Inter Miami secara terbuka memihak kepada rejim Zionis, terdapat pula gerakan penyokong seperti ultras Celtic iaitu Green Brigade mendukung perjuangan Palestin.

Gerakan ultras pasukan Scotland itu sejak dari dahulu memang menyokong segala pergerakan membebaskan Palestin tetapi kali ini mereka menerima tekanan hebat dari kelab mereka sendiri.

Sebelum ini Celtic secara terbuka mengecam tindakan Green Brigade yang menzahirkan sokongan terhadap Palestin apabila menayangkan kain rentang sewaktu perlawanan Scottish Premiership menentang Kilmarnock pada Sabtu.

"Bebaskan Palestin, kemenangan buat penentangan," itulah mesej di kain rentang tersebut.

Green Brigade selepas itu memberikan kenyataan balas kepada Celtic dengan mengatakan pengurusan kelab tersebut adalah hipokrit.

"Berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Celtic, kami ingin menzahirkan pendirian teguh yang kami, sama seperti penyokong bola sepak yang lain, mempunyai hak untuk menunjukkan pandangan politik kami di teres stadium, sama seperti rakyat biasa di mana-mana.

"Sikap hipokrit yang ditonjolkan oleh pihak kelab amatlah menyedihkan lebih-lebih lagi ketika perkara yang sama berlaku ketika pencerobohan Ukraine tetapi ketika itu dianggap tiada masalah. Penyebaran mesej berbaur politik lazimnya dialu-alukan di Celtic Park tetapi kini mendapat kecaman pula?," kata Green Brigade dalam kenyataan mereka.

_90874960_celtic_palestineflags2_sns

Green Brigade menghasilkan lautan bendera Palestin ketika menentang Hapoel Beer Sheva pada 2016. — Agensi

Green Brigade kemudiannya menyeru para penyokong Celtic yang lain untuk membawa bendera Palestin ketika perlawanan UEFA Champions League (UCL) menentang Atletico Madrid pada 25 Oktober harapan seluruh dunia akan melihat kelab tersebut menyokong mereka yang ditindas dan bukannya penindas.

Pada 2016, Green Brigade pernah melakukan perkara yang sama ketika aksi kelayakan UCL menentang kelab Israel, Hapoel Beer Sheva hinggakan pihak UEFA mendenda Celtic kerana berbuat demikian.

Ironinya, UEFA tidak mengambil tindakan sama kepada penyokong Ajax Amsterdam yang mengibarkan bendera Israel semasa aksi UCL pada 2019. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram