SEJAK awal musim, penyokong Kelantan FC sering disajikan dengan masalah pengurusan kelab yang menyaksikan pemain serta staf kejurulatihan tidak dibayar gaji.
Isu berkenaan dikatakan berpunca daripada keengganan pemilik kelab, Norizam Tukiman yang seakan-akan tidak mengendahkan perkara terbabit meskipun sering didesak untuk menyelesaikannya.
Hal itu kemudiannya memberi impak apabila beberapa pemain serta kakitangan pasukan bertindak meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) bagi mencari hala tuju baharu dalam kehidupan masing-masing.
Kehilangan secara besar-besaran itu menyakiskan pasukan Pantai Timur terbabit terpaksa menurunkan pemain daripada skuad Bawah 23 Tahun (B-23).
Kehadiran mereka pada awalnya memberi nafas baharu buat skuad TRW memandangkan mereka mencatatkan beberapa keputusan positif dalam saingan Liga Super, termasuk ketika meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC.
Firdaus berkongsi beberapa tangkap layar mengenai perbualannya bersama pihak pengurusan kelab.
Bagaimanapun, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila pasukan kendalian Alfredo Vera terbabit mengalami siri-siri kekalahan cukup mengecewakan.
Dalam empat perlawanan terakhir, Kelantan FC sudah dibolosi sebanyak 36 kali, sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri dalam arena bola sepak tempatan.
Situasi itu menyebabkan penyokong skuad TRW sekali lagi mempersoalkan sekiranya ubi-ubi muda mereka turut mengalami isu kebajikan seperti mana dihadapi pemain senior.
Persoalan tersebut kemudiannya terjawab apabila baru-baru ini, sebahagian daripada mereka mula membuka mulut mengenai nasib menimpa mereka.
Ia dihangatkan lagi apabila dua pemain skuad Piala MFL, Ahmad Firdaus dan Afif Jazimin yang menceritakan akan perkara itu di laman Instagram masing-masing.
Luahan dibuat Afif Jazimin mengenai nasibnya bersama Kelantan FC B-23.
Bagi Ahmad Firdaus, dia memilih untuk berkongsi tangkap layar daripada perbualannya dengan pihak pengurusan Kelantan FC B-23 diketuai Datuk Ally Nawawi Jusoh.
Antara perkara yang disaksikan berdasarkan hantaran itu ialah apabila pemain berkenaan mendesak pemilik pasukan untuk membayar gaji tertunggak.
"Janji 15 haribulan, dilanjutkan pula sehingga 30 haribulan. Sampai kesudah tidak terima. Ohh Ally Nawawi, kaki penipu," tulisnya dalam salah satu hantaran itu.
Bagi Afif pula, perkongsiannya tidak menceritakan hal sebenar, namun dia hanya memilih untuk berkongsi nasib menyentuh hati mengenainya.
"Bajet tinggal ini sahaja untuk makan," tulisnya berserta kapsyen tanda pagar TRW berserta sekeping foto memaparkannya memegang dua keping wang RM1 dan beberapa duit syiling.
Afif pernah diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad senior dengan dia sudah meraih tujuh penampilan Liga Super tanpa meraih sebarang bantuan jaringan.
Sehingga kini, desakan terus dibuat terhadap pengurusan kelab apabila difahamkan masih terdapat tunggakan yang masih belum diselesaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram