Elak tunggakan gaji seperti Kelantan, pengurus Kerteh FC kongsi cara bina kelab bola sepak


  • Podium
  • Khamis, 05 Okt 2023

Kelantan FC kini menjadi antara pasukan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji.

MASALAH tunggakan gaji terus membelenggu pasukan Kelantan FC selepas salah seorang pemain import, Natanael Siringoringo sah meninggalkan pasukan itu.

Siringoringo yang kembali ke pangkuan The Red Warriors (TRW) selepas dipinjamkan ke Dewa United (Indonesia) semasa jendela perpindahan kedua itu turut menimpa nasib yang sama seperti pemain import sebelum ini.

Secara tidak langsung, Kelantan kini hanya mempunyai seorang import iaitu Leonardo Rolon selepas gagal mendaftar pemain baharu seperti Alie Sesay, Aliakbar Ahmadi, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening kerana sekatan perpindahan yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Musim ini, Siringoringo merupakan antara arkitek penting buat skuad kendalian Alfredo Vera apabila dia merekodkan tiga jaringan dan dua bantuan gol (assist) dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Super.

Siringoringo

Siringoringo kembali ke pangkuan TRW selepas dipinjamkan ke Dewa United (Indonesia) semasa jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. Agensi

Dengan masalah yang dihadapi Kelantan FC, Pengurus Kerteh FC, Tuan Mohd Faizal Tuan Kamaruddin berkata, pentingnya pasukan bola sepak dimiliki oleh badan korporat atau konsortium bagi memastikan pelan pembangunan jangka panjang itu dapat dilaksanakan.

"Perkara seterusnya yang perlu dititik beratkan ialah pengurusan sesebuah kelab.

"Sesebuah pasukan itu perlu diuruskan seperti perniagaan supaya ia memberi pulangan keuntungan kepada kelab.

"Semua pasukan bola sepak seluruh negara perlu dimiliki oleh badan korporat yang besar atau konsortium bagi memastikan pelan pembangunan jangka panjang sesebuah pasukan itu dapat dilaksanakan dan terjamin seperti yang dilakukan pasukan bertaraf bintang dunia dan ini yang berlaku di EPL, Liga BBVA, Serie A dan Bundesliga.

"Jika badan korporat ini masuk sebagai penaja sahaja untuk menggunakan kelab itu bagi mempromosi barangan mereka ia tidak akan ke mana," katanya kepada Majoriti.

Liverpool

Liverpool FC hampir muflis beberapa tahun lepas.

Tambahnya lagi, rujukan boleh dibuat ialah kes Liverpool FC yang hampir muflis beberapa tahun lepas.

"Mengambil contoh pasukan Liverpool yang hampir muflis beberapa tahun lepas, selepas dijual oleh Tom Hicks kepada konsortium Fenway Sports Group dengan harga lebih RM1 juta (£300m) pada hutang yang melebihi paras munasabah akhirnya hari ini nilai kelab berkenaan bernilai lebih satu billion.

"Isu tunggakan gaji atau tunggakan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pemain tidak akan timbul jika kelab berkenaan diuruskan secara perniagaan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram