APABILA berbicara mengenai kelab gergasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang mempunyai reputasi tersendiri, kelab Selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) akan terlintas di fikiran setiap penyokong domestik dan luar negara.
Mana tidaknya, Harimau Selatan menjadi satu-satunya kelab bola sepak domestik yang muncul juara 10 musim berturut-turut selepas kali pertama memenangi trofi pada musim 2014, dengan kejayaan itu sudah pasti meletakkan Harimau Selaran di tahap berbeza berbanding pasukan lain.
Pada September lalu, Harimau Selatan mengesahkan kemenangan 'Perfect 10' kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut apabila berhasil menewaskan PDRM FC 4-0 walaupun masih berbaki empat perlawanan di saingan liga divisyen tertinggi negara.
Dalam peringkat saingan Asia pula, juara bertahan Piala FA itu mengharumkan nama Malaysia apabila menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United dengan keputusan 4-2 bagi saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Satu demi satu kejayaan dilakar oleh kelab dengan jolokan The Southern Tigers yang pastinya membuatkan ramai kelab Liga M lain iri hati dan tertanya-tanya apakah ramuan dan formula yang diaplikasikan JDT untuk kekal unggul pada setiap saingan liga serta kejohanan lain.
Sebelum ini, Majoriti menyenaraikan empat faktor utama Harimau Selatan masih sukar digugat dan antara sebabnya ialah nasihat ketua pegawai eksekutif, DNA kelab, barisan kejurulatihan yang profesional serta tidak terlalu kerap menukar pemain setiap kali jendela perpindahan.
Meskipun kelab lain turut mempunyai kelebihan sama seperrti JDT namun terdapat beberapa perkara yang masih menjadi kelompangan sehingga membantutkan mereka daripada mencapai kejayaan seperti Harimau Selatan.
Jika dilihat persamaan kelab Liga Super yang lain, campur tangan daripada beberapa individu dari persatuan dan politik negeri seakan-akan menjadi barah dalam pasukan bola sepak domestik sehingga ada di antaranya masih terbeban dengan masalah kewangan.
Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga faktor kelab Liga M gagal ikut jejak langkah JDT jika terus di bawah payung persatuan dan badan politik;
1. Cengkaman kuku besi
Lazimnya kita mendengar 'pemerintahan kuku besi' dalam dunia politik sahaja namun siapa sangka kelab bola sepak juga boleh terpalit dengan perkara sama daripada persatuan ataupun badan politik yang terlibat dalam campur tangan sesebuah pasukan.
Individu yang membawa watak sebagai pemimpin kuku besi seringnya akan memegang jawatan terpenting iaitu sebagai presiden persatuan bola sepak negeri dan turut merangkap pengerusi kelab bola sepak dengan harapan akan membawa perubahan untuk pasukan.
Namun hakikatnya bukan perubahan yang dibawa tapi kemusnahan kelab apabila satu-persatu kerosakan dibuat dari kesilapan melantik ketua pegawai eksekutif (CEO) sehingga menguruskan kewangan pasukan.
Posa sering menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Tidak perlu mengambil contoh lain, Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais yang juga sebelum ini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dilihat gagal menguruskan kewangan skuad Ngap Sayot sehingga timbul masalah gaji.
Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) pernah menghantar notis kepada SUFC pada 17 Januari lalu supaya tunggakan gaji yang membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM1 juta itu segera dilunaskan.
Oleh itu, sekiranya sebuah kelab melibatkan campur tangan daripada persatuan dengan menjadikan individu tersebut memegang dua jawatan berbeza, terdapat kemungkinan besar mereka tidak berhasil menguruskannya dengan bijak.
2. Imej buruk pengurusan, jejas kewangan kelab
Musim ini, Negeri Sembilan FC (NSFC) antara kelab yang terjejas dengan masalah kewangan sehinggakan kelab tersebut pernah memuat naik kenyataan bersedia untuk menjalinkan kerjasama bersama pihak yang berminat untuk mengukuhkan kestabilan di luar padang.
Pada Jun lalu, skuad Jang Hobin Jang memaklumkan bahawa sedang dalam usaha untuk meneroka sebarang rundingan, termasuk dari segi jual beli saham.
Ketika ini, Negeri Sembilan difahamkan masih berada di bawah pemilikan kerajaan negeri namun terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi berbanding musim lalu berikutan perlu menanggung pasukan Liga Super, Piala MFL dan Piala Presiden.
JDT sering menarik penaja-penaja lumayan saban tahun. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenai isu tajaan tersebut dan ada mengatakan bahawa imej pengurusan kelab yang kini terpalit dengan isu tunggakan gaji menjadi faktor kegagalan untuk mencari sumber kewangan.
Situasi berbeza di kem JDT apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengambil alih dan mengubah Harimau Selatan sejak 2012, yang mana menyaksikan banyak syarikat antarabangsa seperti Ikea dan Nike sanggup beratur untuk menjalinkan kerjasama.
Justeru itu, tidak keterlaluan untuk mengatakan imej buruk yang ditampilkan sendiri oleh pihak pengurusan tertinggi kelab boleh mempengaruhi keputusan pelabur untuk menaja pasukan.
3. Panic buying kelab
Istilah panic buying sering didengari penyokong bola sepak tanah air ketika penghujung jendela perpindahan dan menariknya banyak kelab Liga M masih menggunakan modus operandi sama iaitu membeli pemain di saat-saat akhir.
Hujah pihak pengurusan membeli pemain di penghujung jendela perpindahan untuk membaiki prestasi kelab namun akhirnya banyak situasi menyaksikan pemain panic buying tersebut gagal mempamerkan prestasi terbaik dan wujudkan isu ketidaksefahaman antara tonggak.
Jika dibandingkan dengan suasana di Harimau Selatan, JDT sering membeli pemain yang sudah dinilai dengan lebih awal untuk memastikan bintang baharu tersebut sesuai dengan falsafah Harimau Selatan.
Richmond terbaring setelah mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super berdepan JDT.
Jika dilihat pada jendela perpindahan Julai lalu, Selangor FC dikatakan antara kelab yang melakukan pembelian panic buying sehingga ia menunjukkan impak ketika aksi di atas padang.
Penyerang import iaitu Richmond Boakye yang hadir dengan reputasi sebagai bekas pemain Juventus dianggap tidak memberikan persembahan diharapkan dan antara pembelian yang kurang berbaloi untuk Gergasi Merah.
Setakat ini, Boakye hanya mencetak lima jaringan gol sahaja dari lapan perlawanan Liga Super dia diturunkan yang boleh dianggap sebagai satu pulangan yang tidak membanggakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram