SKUAD muda negara, AMD DREAM, Chonburi FC (Thailand), KSS Lech Poznan FC (Poland) dan Evergrande Football School (China) mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir kategori bawah 13 tahun Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023.
AMD DREAM dan Chonburi FC gah selaku dua pasukan terbaik Kumpulan A manakala KSS Lech Poznan dan Evergrande Football School pula mewakili Kumpulan B.
Evergrande Football School mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023 selepas menewaskan Hong Kong FA, 3-1 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B.
Tiga mata diraih pasukan yang berpangkalan di China itu memastikan mereka mengutip enam mata hasil dua kemenangan, dan satu kekalahan untuk mengiringi Lech Poznan FC (Poland) ke pentas separuh akhir selaku dua pasukan terbaik dari Kumpulan B.
Gol-gol Evergrande Football School dijaringkan pada minit ke 38, 55 dan 54, manakala gol tunggal pasukan dari Hong Kong disempurnakan pada minit ke 52.
Ketua Jurulatih Evergrande Football School, Sun Weirong menyifatkan kemenangan diraih adalah hasil usaha keras barisan pemainnya untuk terus merebut kejuaraan.
“Pemain beraksi dengan sangat baik dan sudah semestinya saya bangga dengan aksi-aksi anak didik saya.
“Kami memanfaatkan peluang yang ada dengan jaringan gol dan akan terus memberikan saingan yang lebih sengit untuk aksi di pentas separuh akhir nanti,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Bagi Hong Kong FA pula, kekalahan kedua ini menyaksikan mereka gagal meneruskan kemaraan dengan hanya mengutip tiga mata selepas tiga perlawanan berlangsung.
Sementara itu, dalam kategori yang sama Kumpulan A pula, keputusan seri 2-2 yang diraih Fagiano Okayama ketika menentang Zhejiang Professional FC (China) menyaksikan buruan slot separuh akhir musnah.
Slot dua terbaik yang akan beraksi di pentas separuh akhir milik AMD DREAM dan Chonburi FC selepas masing-masing meraih sembilan mata (AMD DREAM), Chonburi FC (enam mata), Zhejiang Professional FC (empat mata) dan Fagiano Okayama (satu mata).
Ketua Jurulatih Fagiano Okayama, Hiroshi Ashitaka berpuas dengan pencapaian anak-anak buahnya.
Bagi pengendali Fagiano Okayama, Hiroshi Ashitaka, anak didiknya beraksi di bawah kemampuan sebenar dengan beberapa kelemahan dipamerkan yang perlu segera diperbaiki.
“Kami tahu pasukan tidak beraksi dengan baik dan perlu segera mempertingkatkannya menjelang aksi di peringkat plate. Mereka perlu lebih yakin dan bersedia.
“Bagaimanapun saya tetap berbangga dengan prestasi pemain," ujarnya yang menghamburkan pujian terhadap penganjuran kejohanan yang memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda.
Lain-lain keputusan yang berlangsung hari ini adalah seperti berikut:-
Bawah 14 Tahun
AMD Dream (2) - Shonan Bellmare (1)
AMD Future (0) - Buriram United (6)
Spartak Trnava(1) - SSBJ (1)
NK Osijek (1) - Piraya Football Academy (2)
Bawah 13 Tahun
AMD Dream (0) - Chonburi (0)
Evergrande Football School (3)- Hong Kong FA (1)
AMD Future (0) - KKS Lech Poznan (2)
Zhejiang Professional FC (2) – Fagiano Okayama (2)
Bawah 12 Tahun
ASIOP Football School (0) – NFDP C (2)
JDT (4) – NFDP D (1)
Zhejiang Professional FC (1) – NFDP A (2)
Apuesto Bueno (1) – NFDP B (8) — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram