'Umpama mimpi, sedia gadai nyawa', Zainal Abidin dan Chin Ann imbau memori indah Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Rabu, 11 Okt 2023

Zainal Abidin Hassan membuat debut bersama skuad kebangsaan seawal usia 17 tahun ketika Pestabola Merdeka 1980. — Agensi

UMPAMA mimpi!

Demikian luahan legenda penyerang bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan, yang mengimbau kembali memori indah ketika dipanggil menyertai skuad kebangsaan seawal usia 17 tahun dalam Pestabola Merdeka 1980, lapor Stadium Astro.

"Saya menerima panggilan antarabangsa pertama pada 1980 bermain di samping pemain seperti arwah Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam dan Santokh Singh pada usia 17 tahun.

"Mereka amat saya hormati dan berikan tunjuk ajar dalam Pestabola Merdeka edisi itu," katanya.

Sementara itu, Datuk Soh Chin Ann, menyifatkan tiupan semangat yang dibawa pemain pada zaman itu sangat luar biasa dan mereka sanggup mempertaruhkan nyawa tatkala berada di padang.

"Pada zaman itu, pencapaian kami agak berjaya kerana emain-pemain sedia berjuang bermati-matian sejak awal hingga perlawanan berakhir," kongsinya.

Di samping itu, bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yakin pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon berada dalam momentum terbaik bagi merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka Edisi Ke-42 ini.

"Kita mengharapkan pasukan kebangsaan mendapat kejuaraan pada kali ini kerana kita tidak boleh pandang rendah kepada India dan Tajikistan.

"Saya nampak Malaysia di landasan terbaik di peringkat antarabangsa," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram