Bintang Liga Super antara 3 tonggak Tajikistan wajib diawasi andai HM layak ke pentas akhir


  • Podium
  • Rabu, 11 Okt 2023

Pasukan Tajikistan dilihat cukup bersedia untuk menjuarai Pestabola Merdeka yang bakal dianjurkan tidak lama lagi. — Agensi

PELUANG keemasan terhidang buat skuad Harimau Malaya untuk menaikkan lagi kedudukan mereka dalam ranking FIFA apabila pasukan itu bakal berentap dalam saingan Pestabola Merdeka tidak lama lagi.

Kejayaan dalam pertandingan ringkas tersebut dilihat mampu menghadiahkan mata penting, sekali gus membuka peluang negara dalam merealisasikan cita-cita untuk berada dalam kelompok 120 pasukan teratas.

Bagaimanapun, usaha berkenaan dilihat sedikit sukar buat Harimau Malaya apabila lawan-lawan yang dipanggil untuk edisi kali ini bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah.

Di peringkat separuh akhir, skuad kebangsaan bakal bertemu India yang ketika ini berada di kedudukan 102 dunia sementara Tajikistan menduduki tangga ke-110.

Meskipun skuad kebangsaan dilihat kerdil jika dibandingkan dengan kedua-dua pasukan terbabit, prestasi positif yang dicatatkan membuka peluang negara untuk memastikan kemaraan ke perlawanan akhir pada 17 Oktober ini.

Tetapi, sekiranya hendak dibandingkan dengan India, pasukan negara juga perlu memberi perhatian terhadap Tajikistan yang memiliki kelebihan memandangkan mereka hanya beraksi sebanyak sekali dalam Pestabola Merdeka.

Hal itu berikutan keputusan Palestin yang menarik diri daripada pertandingan berikutan pergolakan berlaku antara negara berkenaan dengan rejim Zionis baru-baru ini.

Meskipun tidak dapat mengenal pasti pendekatan taktikal yang bakal dibuat, pemerhatian terhadap skuad dibawa boleh memberi bayangan mengenai kebolehan Tajikistan dalam Pestabola Merdeka kali ini.

Melihat kepada kesemua pemain dibawa, terdapat tiga tonggak yang perlu diberikan perhatian Kim Pan-gon untuk membawa pulang kejayaan dalam pertandingan cukup bersejarah ini.

1. Amirbek Juraboev

Nama yang sememangnya cukup sinonim dalam skuad Tajikistan kali ini ialah pemain tengah mereka, Amirbek Juraboev yang kini beraksi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Meskipun sering diturunkan sebagai pemain dengan peranan bertahan, pemain berusia 27 itu mempunyai kebolehan untuk merencanakan mahupun menyudahkan segala peluang yang terhidang.

Ia dibuktikan apabila jeneral tengah itu sudah menjaringkan lima gol penting dalam 19 penampilan Liga Super buat skuad Sang Kenari setakat ini.

2118375

Amirbek merupakan salah seorang import terbaik skuad Sang Kenari musim ini. Facebook/KDA FC

Prestasi berkenaan turut dipamerkan setiap kali dia beraksi buat negaranya apabila dia kini sudah diturunkan 51 kali sepanjang kariernya bersama Tajikistan.

Selain itu, Amirbek turut mempunyai kelebihan beraksi bertemu skuad Harimau Malaya apabila dia sudah tentu memiliki pengalaman beraksi berdepan pemain-pemain Harimau Malaya yang akan diturunkan dalam aksi final itu nanti.

2. Parvizdzhon Umarbayev

Sekiranya Amirbek kerap diberikan kepercayaan untuk mematahkan serangan lawan, peranan untuk mencipta serangan kerap dipikul pemain tengah berusia 28 tahun, Parvizdzhon Umarbayev.

Sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan Tajikistan, pemain berkenaan sudah merekodkan 41 penampilan dengan tujuh gol berjaya dijaringkan.

Umarbaev

Kebolehan Umarbayev untuk menjaringkan gol perlu diberikan perhatian rapi. Agensi

Catatan terbabit meletakkannya sebagai penjaring terbanyak buat skuad kendalian Petar Segrt dalam Pestabola Merdeka dengan sumbangannya pasti akan terus ditagih.

Pengalamannya di peringkat kelab turut mencuri perhatian apabila dia pernah beraksi bersama beberapa kelab yang cukup dihormati di peringkat Asia, termasuk gergasi Tajikistan, Istiklol.

Kebolehannya untuk mengawal permainan sudah tentu akan ditagih pasukan dari Asia Barat berkenaan untuk memecahkan tembok Harimau Malaya, sekali gus menjuarai Pestabola Merdeka kali ini.

3. Shahrom Samiev

Penyerang muda Tajikistan, Shahrom Samiev turut dibawa pasukan itu untuk aksi Pestabola Merdeka melihat kepada kebolehannya ketika ini.

Pemain yang kini bersama kelab Romania, Milsami Orhei itu sudah mencatatkan 19 penampilan buat negaranya dengan empat gol sudah disumbat dalam tempoh berkenaan.

taju_1664086667

Samiev (22) boleh dianggap sebagai ancaman utama daripada Tajikistan. Agensi

Catatan itu sudah pasti mencuri perhatian Segrt memandangkan dia kini merupakan penyerang dengan jumlah penampilan tertinggi selain gol terbanyak buat Tajikistan.

Sekiranya pemain itu diletakkan dalam kesebelasan utama, skuad kendalian Pan-gon perlu memberi lebih perhatian kerana dikhuatiri dia akan menggunakan kepantasannya pada awal permainan.

Meskipun usianya masih muda dan kurang berpengalaman, sikap memandang rendah dikhuatiri akan merugikan pasukan negara dalam usaha mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram