'I am the brand', TMJ perjelas sebab pilih bangunkan bola sepak


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

TMJ boleh dianggap sebagai nadi utama di sebalik kebangkitan JDT sehingga mereka berjaya ke hari ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KETABAHAN serta kesungguhan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris dalam membangunkan Johor Darul Takzim (JDT) sejak 2012 sememangnya perlu menjadi teladan dalam dunia bola sepak tempatan.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, minat yang mendalam untuk menaikkan status kelab Liga Super itu menjadi pendorong utamanya.

Kini, skuad Harimau Selatan mula menempa nama di peringkat antarabangsa apabila menjadi sebuah pasukan yang kerap tampil di pertandingan anjuran AFC.

Penyertaan mereka juga boleh dianggap sebagai satu rahmat buat bola sepak tanah air memandangkan JDT sering menampilkan aksi cemerlang dalam Liga Juara-juara AFC (ACL).

Kemegahan jaguh Liga Super itu bagaimanapun tidak terhad di atas padang apabila skuad Harimau Selatan semakin dikenali di seantero dunia.

Keputusan pihak pengurusan untuk meluaskan jenama kelab dilihat kian membuahkan hasil dengan JDT kini mula dikenali peminat bola sepak di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image 2023-10-10 at 10.01.15

JDT berjaya membina status mereka sebagai antara pasukan terbaik dalam sejarah Liga Super. Bernama

Bagaimanapun, persoalan mengenai keputusan TMJ untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap sukan berkenaan seperti masih bermain di fikiran penyokong JDT sendiri.

Manakan tidak, lambakan pilihan lain yang juga mempunyai potensi untuk berkembang dilihat masih mampu untuk dibangunkan, sekali gus mengukuhkan nama TMJ sebagai seorang pemilik berwibawa.

Untuk menjawab tanda tanya berkenaan, TMJ membuat beberapa hantaran di InstaStory peribadinya pada Isnin bagi menjernihkan kekeliruan orang ramai.

"Kenapa bola sepak? Bola sepak ini milik orang ramai. Ia boleh dimainkan di mana sahaja anda berada tanpa mengira kaum, agama, etnik mahupun status sosial.

"Ia mempunyai tempat untuk semua dan oleh itu, terbitlah ideologi kekeluargaan JDT. Itulah sebabnya ia menjadi satu perkara merepek bagi sesiapa untuk membandingkan bola sepak dengan sukan-sukan individu," tulisnya.

TMJ turut menjelaskan bahawa dia cukup berminat dengan sukan polo, namun memahami bahawa permainan berkenaan tidak dapat disertai masyarakat umum.

385266320_753539836784605_4294676488039135687_n

Tangkap layar satu daripada empat hantaran TMJ di InstaStory peribadinya.

"Bola sepak bukanlah satu sukan di mana anda hanya akan membazirkan wang kerana ia hobi persendirian seperti sukan-sukan lain.

"Duit yang dilaburkan dalam bola sepak adalah satu bentuk kemegahan buat negeri Johor dan bagi menggembirakan kesemua penyokong," katanya.

Berdasarkan pemerhatian lalu, JDT mempunyai tarikan cukup baik daripada penyokongnya apabila Stadium Sultan Ibrahim, Johor sering dibanjiri penyokong.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga sering dijemput untuk menyaksikan sambutan kejuaraan yang kerap dihadiri artis luar negara serta persembahan bunga api.

Jadi, tidak hairanlah apabila TMJ sering membuktikan kesetiannya terhadap JDT meskipun sering dipertikaikan penyokong pasukan lain.

"Akhir sekali, anda yang lain terpaksa bergantung kepada jenama luar, tetapi tidak untuk saya kerana saya adalah jenama itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram