Palestin tarik diri Pestabola Merdeka, Tajikistan tunggu pemenang India-Harimau Malaya di final


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Palestin memilih untuk menarik diri daripada kejohanan berkenaan berikutan ketegangan politik di negara mereka. — Agensi

SUSULAN konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pasukan Timur Tengah itu terpaksa menarik diri daripada saingan Pestabola Merdeka.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, badan induk bola sepak negara itu berkata, format pertandingan masih akan dikekalkan.

"FAM hari ini mengumumkan bahawa format pertandingan Pestabola Merdeka 2023 adalah dikekalkan biarpun ia kini disertai hanya tiga pasukan - Malaysia, India dan Tajikistan.

387175656_1025235361883033_1752133651526011679_n

Kenyataan daripada FAM mengenai status pasukan Palestin dalam Pestabola Merdeka. Facebook/FAM

"Berdasarkan situasi terbaharu, Malaysia kekal akan bertemu India pada Jumaat, 13 Oktober 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala Tajikistan kini mendapat 'bye' dan akan terus layak ke Final pada Selasa, 17 Oktober 2023 (9.00 malam) untuk bertemu pemenang perlawanan Malaysia dan India," tulisnya.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan Pestabola Merdeka 2023 akan menggunakan format 'round-robin' yang mana kesemua pasukan akan beraksi dalam dua perlawanan.

Bagaimanapun, menurut FAM, perubahan yang diambil itu dilihat sebagai satu langkah penyelesaian terbaik buat kesemua pihak.

"Untuk bersikap adil kepada 25,000 penyokong yang membeli tiket bagi menyaksikan kedua-dua Hari Perlawanan pada 13 dan 17 Oktober itu, FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket berkenaan biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap Hari Perlawanan tersebut," tulis FAM lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram